Pembiayaan insurans kenderaan tanpa faedah buat penjawat awam - Utusan Malaysia

Pembiayaan insurans kenderaan tanpa faedah buat penjawat awam

M. Saravanan melancarkan Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia di Hotel Marriot Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 1.6 juta bakal menerima manfaat Program  Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia, myezycover.com iaitu kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan  dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus.

Mengumumkan program penyelesaian kewangan digital kali pertama diperkenalkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, golongan  itu kini boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan.

Menerusi kemudahan itu, mereka boleh menikmati bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan, melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA). 

Ia adalah satu bentuk pembiayaan berlandaskan konsep patuh syariah  Qardhul Hasan iaitu pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba. 

“Dengan pelbagai manfaat ditawarkan, penjawat awam  boleh mengambil perlindungan tambahan yang lebih komprehensif untuk kenderaan masing-masing. 

“Ini bagi memastikan kenderaan dan penumpang dilindungi daripada kemalangan, serta bencana alam seperti  banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya ketika berucap melancarkan program myezycover.com di sini hari ini.

Melalui myezycover.com inisiatif Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan penyedia platform pembiayaan kewangan, A Tech Insure Sdn Bhd, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari iaitu ‘Mudah, Jimat dan Pantas’.

Ini termasuk Nota Perlindungan Insurans boleh diperoleh hanya dalam tempoh  lima minit. 

Ismail Sabri berkata, manfaat inisiatif ini turut boleh dinikmati penjawat awam kontrak  dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan. 

 Ia sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan  terhadap kebajikan penjawat awam tanpa berorentasikan komersial  sebaliknya membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang  menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan. 

Pada masa sama, kata beliau, dengan  usaha ini dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan.

Kerajaan juga berhasrat memperluaskan inisiatif berkenaan kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa  terdekat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya