Peladang sawit usah risau, harga dijamin atas RM4,500  - Utusan Malaysia

Peladang sawit usah risau, harga dijamin atas RM4,500 

ZURAIDA Kamaruddin (tengah) mencuba produk coklat yang dihasilkan oleh TAE ketika lawatannya ke ladang koko syarikat itu di Kampung Panchor, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Para peladang kelapa sawit tidak perlu khuatir dengan situasi penyusutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang kini sedang melanda pasaran, kerana ia tidak akan turun melebihi paras RM4,500 satu tan.

Itu jaminan  kerajaan memandangkan penurunan itu telah dijangka, namun berlaku lebih awal berbanding jangkaan asal iaitu pada penghujung tahun ini.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, harga MSM akan berlegar dalam julat antara RM5,000 hingga RM4,500 satu tan, tidak seteruk sebelum ini yang mana ia merosot sehingga RM2,500 satu tan.

“Harga sawit tidaklah jatuh sampai ke tahap RM2,500 (satu tan) seperti dulu, kita pun memang telah menjangkakan penyusutan kepada RM5,000 sehingga RM4,500 dalam norma baharu. 

“Ini paras yang baik dengan dalam keadaan hari ini, cuma ia berlaku lebih awal berbanding jangkaan iaitu pada hujung tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Koko Ting Agro Enterprise (TAE), Kampung Panchor di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, penurunan drastik harga MSM hampir 30 peratus dijangka menjejaskan perniagaan pengeluar sawit.

Penganalisis Maybank IB, Ong Chee Ting berkata, pengeluar akan terjejas memandangkan terdapat kemungkinan peningkatan risiko kemungkiran atau kegagalan membuat pembayaran dalam kalangan pembeli yang mahu menangguhkan penghantaran minyak sawit, memandangkan mereka telah mengunci harga yang tinggi lebih awal.

Mengulas lanjut, Zuraida menambah, penyusutan itu juga disebabkan situasi pasaran global yang tidak stabil termasuk tindakan Indonesia menghentikan pengeksportan minyak sawit pada Mei lalu dan perang Russia-Ukraine. 

“Situasi Indonesia menghentikan sekejap bekalan minyak sawit, kemudian perang Russia-Ukraine mengakibatkan kita punya harga sawit mula turun. 

“Tapi tak akan lebih rendah dari RM4,500 dan saya jangka ia akan naik balik, apa-apa pun pengusaha kebun sawit masih lagi memperoleh hasil pada harga tinggi, dapat pendapatan yang tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya