Sidang DUN Melaka: Pelaburan RM2.2 bilion, bukti Melaka tiada masalah dalaman - Utusan Malaysia

Sidang DUN Melaka: Pelaburan RM2.2 bilion, bukti Melaka tiada masalah dalaman

KERK Chee Yee (kiri) dan Ab. Rauf Yusoh ketika sesi pertanyaan-pertanyaan untuk jawab lisan hari pertama sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sesi pertanyaan-pertanyaan untuk jawab lisan hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini berakhir sedikit ‘panas’, apabila isu faktor dalaman yang dikhuatiri menjejaskan pelaburan asing seperti ketidakstabilan kerajaan negeri dan Ketua Menteri dibangkitkan pembangkang.

Perkara itu diajukan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) ketika bangun mengemukakan soalan tambahan kepada Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Chee Yee menyentuh berkenaan indeks persepsi rasuah, ketidakstabilan kerajaan serta kedudukan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali turut meminta Ab. Rauf menyatakan faktor dalaman yang boleh ditambah baik untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke negeri ini.

“Kita semua tahu memang banyak faktor yang akan menentukan prestasi pelaburan asing ke dalam sesebuah negeri. Faktor luar seperti perang Russia-Ukraine, kenaikan harga minyak dan sebagainya, kebanyakan faktor ini di luar kawalan kerajaan negeri.

“Tapi juga ada banyak faktor dalaman seperti indeks persepsi rasuah, ketidakstabilan kerajaan, ketidakstabilan kedudukan Ketua Menteri dan sebagainya.

“Jadi soalan saya adalah, saya nak minta Tanjung Bidara (Ab. Rauf) nyatakan cabaran daripada segi aspek faktor dalaman, yang boleh ditambah baik untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Melaka,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Melaka di Seri Negeri hari ini.

Bangkit menjawab, Ab. Rauf menegaskan, kesemua 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) kekal sehaluan dengan kepemimpinan Sulaiman.

Katanya, isu faktor dalaman dibangkitkan Chee Yee hanyalah dakwaan tidak berasas yang berpunca daripada perasaan cemburu sesetengah pihak di atas kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Jelas Ab. Rauf, Melaka langsung tidak berdepan defisit kepercayaan pelabur dan ia sudah dibuktikan dengan kemasukan RM2.2 bilion pelaburan asing hanya dalam masa empat bulan pemerintahan kerajaan negeri hari ini.

“Terima kasih Ayer Keroh (Chee Yee) kerana selalu membawa isu yang membuat kita tertanya-tanya, faktor dalaman mana perlu kita tambah baik. Kami sebahagian besar 21 ADUN kerajaan tak pernah pun berada dalam keadaan tidak sehaluan dengan kepimpinan Ketua Menteri.

“Soal dalaman ini tidak timbul, yang sering diuar-uarkan dalam media sosial, secara langsung atau tidak langsung, yang cemburu atas kejayaan kami dapat menambat hati rakyat pada PRN lepas. Maka soal isu dalaman ini tidak timbul yang berhormat Ayer Keroh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya