KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja di pasar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) maut setelah motosikal ditungganginya terlibat kemalangan di Kampung Bukit Bayas di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Asrol Sulaiman, 33, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya dengan menunggang motosikal EX5 di pasar LKIM, di sini.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan berselekoh, motosikal Honda EX5 dinaiki Mohd. Asrol dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Sebuah kereta Perodua Kelisa yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun gagal mengelak dan terbalik lalu merempuh motosikal mangsa manakala mangsa pula tercampak sejauh beberapa meter,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, pemandu kereta Perodua Kelisa pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Tambah beliau, mayat Mohd. Asrol dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN