Peguam Negara, menteri dipanggil sertai prosiding tuntutan Sulu

Peguam Negara, menteri dipanggil sertai prosiding tuntutan Sulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan dua orang menteri akan dipanggil untuk prosiding berhubung isu tuntutan kumpulan Sulu ke atas aset-aset negara bermula 11 Ogos depan.

Menteri tersebut adalah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, prosiding ini wajar dimulakan selepas beberapa usul yang dikemukakan sebelum ini ditolak daripada dibahas dalam Dewan Rakyat.

“Jawatankuasa telah berbincang dan berpandangan bahawa tuntutan ini adalah isu yang sangat serius. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, berpotensi menjejaskan kepentingan negara.

“Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk menjalankan semak imbang terhadap tindakan kerajaan serta memartabatkan institusi demokrasi berparlimen. Jawatankuasa ini terdiri daripada kerajaan dan pembangkang, menteri akan memberikan kerjasama untuk hadir dan insya-Allah kita akan menjayakan prosiding demi kepentingan negara,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Malah, katanya, jawatankuasa akan memanggil saksi-saksi kepada isu tuntutan kumpulan Sulu yang dirasakan akan membantu prosiding ini.

“Ini pertama kali dalam sejarah Parlimen negara, apabila ditubuhkan satu jawatankuasa khas maka prosiding ini sangat besar maknanya, mengangkat martabat Parlimen dan institusi demokrasi berparlimen,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, waris kumpulan Sulu dilaporkan merampas aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan selepas menuntut RM62.59 bilion daripada kerajaan Malaysia.

Ini selepas Malaysia tidak lagi membayar RM5,300 setahun selepas pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, keputusan itu adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan undang-undang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN