IPOH: Pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini kini ada bergelar tauke apabila terlibat dalam industri perikanan termasuk mengusahakan kelong seperti yang dikesan di perairan Kerian di Bagan Serai.
Malah kegiatan itu dipercayai berlaku di banyak tempat di seluruh negara apabila mereka semakin galak meraih keuntungan dengan menjadi nelayan pantai sehingga ada yang memiliki bot sendiri.
Kesannya semakin dirasai oleh nelayan kecil tempatan yang terjejas pendapatan mereka.
Kegiatan mereka dibongkar dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Perkampungan Nelayan Kuala Gula, di Bagan Serai, Perak Jumaat lalu.
Difahamkan, PATI mengambil alih kelong daripada majikan mereka yang sudah tidak mampu atau tidak lagi berminat mengusahakan kelong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, PATI warga Myanmar dan Indonesia yang ditangkap dalam serbuan di Kuala Gula dekat Bagan Serai, Jumaat lalu dikesan beroperasi sebagai nelayan dengan menggunakan bot-bot kecil di sekitar perairan pantai di Kerian.
Katanya, lebih mengejutkan ada di antara mereka yang menjadi tauke apabila mengusahakan kelong sendiri.
“Ada PATI yang menjadi nelayan kecil, apabila saya tanya ada yang kata bot-bot berkenaan dipajak terus daripada pemilik bot tempatan dan ini tidak seharusnya berlaku, macam mana nelayan tempatan kita nak cari rezeki meneruskan kehidupan jika kawasan mereka ini diganggu rakyat asing ini.
“Warga asing yang ditangkap ini tidak mempunyai sebarang permit atau Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Ini satu kesalahan besar.
“Memang ada kemungkinan keadaan yang sama juga berlaku di tempat-tempat lain di negara ini. Malah saya dapat laporan di mana-mana penempatan nelayan, memang ada warga asing yang beroperasi secara tidak sah. Apa yang lebih membimbangkan mereka ini beroperasi sebagai nelayan pesisir pantai dan tidak seharusnya berlaku.
“Bagi kru kapal warga asing, mereka hanya boleh diambil bekerja sebagai nelayan bagi kapal-kapal yang di kelas lesen C yang beroperasi di laut dalam bukan di tepi pantai, ini akan menjejaskan nelayan tempatan,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, serbuan di Kuala Gula, Bagan Serai kelmarin juga mengesan sebuah kilang memproses belacan yang menggunakan khidmat PATI sedangkan ia melibatkan kilang memproses makanan.
Katanya, jika majikan menggunakan khidmat PATI, suntikan kesihatan untuk pekerja yang mengendalikan makanan tidak akan diberi dan ini meletakkan risiko keselamatan yang tinggi pada rakyat.
“Imigresen bertegas dalam perkara ini, selepas ini kita akan melancarkan operasi besar-besaran secara terancang dan teratur akan dijalankan bersama agensi lain khususnya Maritim Malaysia dan Polis Marin,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai jumlah PATI yang berada dalam negara ketika ini, Khairul Dzaimee berkata, tiada pihak yang benar-benar tahu atau mempunyai angka jumlah sebenar PATI yang berada di negara ini.
Katanya, ini kerana PATI masuk melalui pelbagai cara termasuk melalui lorong-lorong tikus dan kemasukan mereka secara tidak sah itu tidak dapat didaftarkan.
“Tidak ada pihak yang tahu berapa ramai bilangan PATI dalam negara ini dan kalau ada mana-mana pihak yang mendakwa ada tujuh atau lapan juta orang PATI, saya berani cakap ini adalah satu jumlah yang tidak betul.
“Isu jumlah PATI ini ialah isu persepsi. Contohnya di Jalan Silang, Kuala Lumpur pada hari minggu beribu PATI dikatakan keluar di Jalan Silang hingga ada yang mempertikaikan kenapa Imigresen tak ambil tindakan, sedangkan mereka warga asing yang memiliki pas lawatan kerja yang sah.
“Jalan Silang memang menjadi tumpuan warga Bangladesh, Myanmar sebab kedai-kedai di situ menjual keperluan mereka.
“Sama macam kalau kita keluar negeri, kalau yang beragama Islam pertama, perkara pertama kita cari ialah di mana ada kedai jual makanan halal. Katakan di satu tempat itu ada kedai halal, di situlah kita akan pergi, jadi akan kelihatan ramai orang Malaysia di situ, jadi persepsi ini perlu dibetulkan,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin yang tamat baru-baru ini, angka PATI yang direkodkan di bawah program itu ialah kira-kira 730,000.
“Jadi, inilah jumlah pati yang ada, mungkin PATI yang tidak keluar semasa program itu kita anggarkan dalam 200,000, tolak campur lebih kurang satu juta PATI dalam negara,” katanya. – UTUSAN










