Pasukan khas ditubuh siasat sindiket kerja di luar negara - Utusan Malaysia

Pasukan khas ditubuh siasat sindiket kerja di luar negara

ACRYL SANI ABDULLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu Pasukan Khas ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan mengenai sindiket penipuan pekerjaan warga Malaysia di luar negara.

Pasukan Khas ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut seperti aspek penguatkuasaan, pencegahan dan penyiasatan.

Ia susulan kira-kira 128 rak­yat Malaysia masih terkandas di luar negara selepas mendakwa ditipu pekerjaan sejak dua tahun lalu sehingga 13 Jun lepas.

Lebih membimbangkan, ang­ka itu meningkat selepas seba­nyak 134 laporan polis diterima PDRM sepanjang tempoh itu yang dibuat ahli keluarga mang­sa.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan lanjut mendapati, kebanyakan mangsa membabitkan mereka berusia 17 sehingga 41 tahun.

Menurut beliau, kesemua mereka dipercayai berada di beberapa negara seperti Kemboja, Myanmar, Laos dan lain-lain negara dan buat masa ini tidak dapat dipastikan keadaan mereka di negara-negara tersebut.

“Terdapat dua faktor yang membuat mangsa dipengaruhi dan diperdayakan untuk bekerja di luar negara.

“Iaitu faktor tarikan (pull factor) dengan tawaran gaji lumayan dan kemudahan. Mang­sa terlalu ingin mencari kerja dengan mudah dengan ganjaran yang lumayan,” katanya di sini semalam.

Jelas Acryl Sani, pihak polis sama sekali tidak pernah berdiam diri malah sedang gigih bekerjasama dengan pihak polis antarabangsa (Interpol) dan ASEAN (ASEANAPOL) bagi tujuan membantu untuk mengesan dan menyelamatkan mang­sa-mangsa yang terlibat.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, PDRM juga bekerjasama dengan pihak Kementerian Luar bagi membantu mempercepatkan proses menyelamatkan mangsa-mangsa di luar negara.

“Satu mesyuarat penyela­rasan mengenai isu tersebut diadakan PDRM dan ASEANAPOL pada 16 Jun lalu bagi membincangkan kerjasama lebih erat bagi menangani isu tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Acryl Sani menasihati rakyat Malaysia yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara supaya mengetahui dan mematuhi undang-undang termasuk peraturan-peraturan pekerjaan tempatan agar memastikan diambil kerja secara sah.

“Antara perkara penting se­perti visa kerja, kontrak kerja dan sebagainya adalah dokumen pekerjaan yang dapat menjamin tawaran kerja yang sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya