Pascabanjir: 809 rumah dibaik pulih, 10 siap dibina baharu

Pascabanjir: 809 rumah dibaik pulih, 10 siap dibina baharu

MAHDZIR Khalid menyampaikan anugerah kepada seorang penerima pada Program Wacana Ilmu, Wanita Inspirasiku anjuran Kemas Negeri Sembilan di Dewan Feldajaya, Jempol, Negeri Sembilan, hari ini. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Sebanyak 809 buah daripada 2,613 unit rumah yang terkesan akibat banjir di tujuh buah negeri sebelum ini telah dibaik pulih setakat 17 Jun lepas.

Menerusi Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia tersebut, sebanyak 10 buah rumah telah siap dibina baharu daripada 97 unit secara keseluruhan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek baik pulih dan bina baharu itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM44.8 juta dan setakat ini sebanyak RM39.1 juta telah dibelanjakan.

“Ada kes yang tidak jadi rumah lagi sebab ada masalah tanah, contohnya, tapak (rumah) itu di tepi sungai (rezab sungai). 

“Jadi yang itu kami kena pindahkan, kami bekerjasama dengan kerajaan negeri, mungkin di situ ada kelewatan sedikit untuk pembinaan rumah dan ada yang masih menunggu kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan Program Wacana Ilmu, Wanita Inspirasiku anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan di Dewan Feldajaya, di sini hari ini.

Pada Disember tahun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta menerusi dua kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membina semula dan membaik pulih rumah yang terkesan akibat banjir di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Kos sebanyak RM5,000 sehingga RM15,000 diperuntukkan bagi baik pulih rumah dan RM56,000 bagi kos bina baharu.

Sementara itu, Mahdzir memberitahu, sebanyak RM9.5 juta telah diperuntuk dan disalurkan bagi tujuan  naik taraf fasiliti Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas di seluruh negara.

“Kemas telah mengenal pasti tabika yang uzur. Ini membabitkan Tabika Kemas Kategori C bagi kerja-kerja baik pulih seperti bilik air dan lantai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN