KOTA BHARU: Hasrat Pas untuk memerintah Kedah secara bersendirian selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tanpa perlu menumpang kerajaan campuran perlu dilihat melalui perspektif yang betul.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, semua parti yang memasuki pilihan raya mempunyai hasrat berdiri sendiri dalam sesebuah kerajaan.
Menurutnya, situasi itu dapat dilihat apabila UMNO sendiri tidak mahu berkawan dengan parti-parti lain kerana mahu memerintah bersendirian semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor baru-baru ini.
“Di Melaka, UMNO tidak mahu berkawan dengan parti-parti lain. Begitu juga di Johor. Mereka mahu bertanding bersendirian. Jadi apa salahnya jika Pas menyuarakan hasrat untuk memerintah Kedah bersendirian dan ia tidak menyalahi mana-mana peraturan.
“Kita akan usaha untuk memerintah Kedah bersendirian seperti juga di Kelantan. Kita usaha sehingga kita mampu memerintah sendiri. Kalau tidak dapat, kita bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh terima perjuangan kita,” katanya selepas Majlis Makan Malam Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini semalam.
Terdahulu, Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik sebagai berkata, langkah Pas untuk bersendirian pada PRU15 sudah diduga awal.
Beliau mendakwa, hasrat tersebut menyerlahkan pendirian sebenar Pas berhubung gagasan Muafakat Nasional (MN) atau rakan kongsi Perikatan Nasional (PN).
Mohd. Amar memberitahu, hasrat Pas itu tidak bermakna parti itu mahu meninggalkan rakan-rakan politiknya tetapi mahu menjadi sebuah parti yang kuat.
“Pas sebagai sebuah parti perlu kuat. Berdasarkan pengalaman kita, bila bergantung kepada parti lain, kesudahannya akan menjadi sepertimana berlaku dalam Kerajaan Malaysia sendiri.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang jawatan Perdana Menteri kerana rakan-rakan politik tarik balik sokongan. Itu bahayanya bila kita bergantung kepada pihak lain. Bukan bermaksud kita mahu bergaduh dengan semua orang tetapi kita kena ada kekuatan sendiri,” katanya. – UTUSAN