Op Air Raya bongkar 275 premis ingkar Akta Kualiti Alam Sekeliling

Op Air Raya bongkar 275 premis ingkar Akta Kualiti Alam Sekeliling

ANGGOTA penguatkuasaan JAS sedang melakukan pemeriksaan ke atas premis menerusi Ops Air Raya di seluruh negara baru-baru ini. - FOTO/IHSAN JAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mengenal pasti sebanyak 275 premis di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Op Air Raya selama seminggu bermula 1 Julai lalu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, premis terbabit meliputi 10 sektor industri dengan tahap pematuhan rendah kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“Ia antaranya membabitkan industri penyudahan logam dan salur elektrik, kertas, pengilangan logam, perusahaan plastik serta galian bukan logam,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Tidak ketinggalan juga diperiksa ujar beliau, ialah sektor industri penapisan minyak makan, makanan dan minuman, kimia, perusahaan yang berasaskan getah serta penapisan petroleum

Sejumlah 204 tindakan perundangan telah diambil ke atas premis yang gagal mematuhi AKAS 1974 termasuk 71 notis arahan dan 126 kompaun dikeluarkan JAS berjumlah RM252,000.

Bahkan tambah beliau, ada empat kes penahanan operasi kelengkapan manakala tiga kes lagi sudah peringkat penyediaan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah pula.

Aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan ketika operasi khas itu dipergiatkan meliputi punca pencemaran dan lokasi ‘titik panas’ bagi pencegahan menjelang musim perayaan Aidiladha.

“Antara kesalahan sering dilakukan premis ialah gagal dalam pengurusan buangan terjadual (BT) yang diberikan perhatian serius kerana boleh mendatangkan risiko kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN