Negeri wajar ikut laksana RUU antilompat parti - MCA - Utusan Malaysia

Negeri wajar ikut laksana RUU antilompat parti – MCA

Wee Ka Siong ketika majlis memperkenalkan senarai 125 Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) lantikan parti itu di seluruh negeri di Kota Iskandar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan undang-undang anti lompat parti yang diluluskan di peringkat pusat wajar diikuti semua negeri bagi memastikan sistem demokrasi negara selari di semua peringkat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ahli parlimen kerajaan dan pembangkang sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dan perkara itu perlu dituruti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, situasi berkenaan adalah sama seperti pelaksanaan undang-undang yang membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun mengundi sebelum ini.

“Apa sahaja yang diluluskan di Parlimen mengikut prinsipnya untuk diguna pakai bersama. Jadi, adalah wajar setiap negeri melakukan perkara sama seperti yang kita telah buat dalam pindaan Undi18.

“Kini terpulang kepada setiap negeri dan saya percaya mereka faham dan tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas memperkenalkan senarai 125 Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) lantikan parti itu di seluruh negeri di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pada 28 Julai lalu, Rang Undang-Undang (RUU) mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga dengan seramai 209 Ahli Parlimen menyokong manakala 11 tidak hadir.

MCA berharap RUU itu dapat memelihara mandat rakyat dan menjadi benteng bagi kestabilan negara untuk jangka masa panjang dalam menyuburkan sistem demokrasi di Malaysia.

“Keputusan itu menunjukkan kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang dapat bersama-sama mencapai kata sepakat demi kebaikan rakyat serta negara secara keseluruhannya. 

“MCA sebagai sebuah parti politik kita tidak pernah berdepan masalah kerana mempunyai prinsip dan akan kekal bersama-sama berjuang bawah payung Barisan Nasional (BN), itu yang dilakukan sejak dahulu lagi,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya