KUALA LUMPUR: Tiga negeri jajahan Pakatan Harapan (PH) akan meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri dengan segera sebaik sahaja Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, pindaan Perlembagaan negeri itu bagi membolehkan larangan wakil-wakil rakyat melompat parti dikuat kuasa masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula.
“PH memberi jaminan kita akan meminta semua kerajaan negeri PH untuk meminda perlembagaan negeri masing-masing untuk diseragamkan dengan Perlembagaan Persekutuan, supaya tindakan lompat parti diharamkan dalam negeri berkenaan.
“Saya harap perkara ini boleh diamalkan oleh negeri-negeri di bawah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) termasuk di Sarawak,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN