MYWiT bangunkan bakat digital Malaysia

MYWiT bangunkan bakat digital Malaysia

MYWiT berjaya membantu 283 individu mendapat kerja pada 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bagi melonjakkan keupayaan untuk memastikan industri perniagaan digital terus konsisten dan berdaya maju, majikan dan pekerja boleh memanfaatkan program MyDigital Workforce Work In Tech (MYWiT) yang diteruskan sehingga Ogos ini.

Program itu yang diperkenalkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memberi insentif kepada para majikan untuk mengambil pekerja di negara ini bagi profesion berteknologi dan perkhidmatan digital melalui insentif gaji dan latihan.

MDEC pula ialah agensi kerajaan yang menerajui ekonomi digital negara dan berperanan menarik bakat-bakat profesional teknologi maklumat serta menarik pelabur teknologi maklumat antarabangsa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengurusnya, Syafini Mohd. Ridowan berkata, MYWiT yang dibiayai Kerajaan Malaysia menawarkan peluang kepada pencari kerja bagi mendapatkan kerja di syarikat-syarikat teknologi digital di samping meningkatkan kemahiran itu.

Beliau berkata, program tersebut yang dilancarkan pada April 2021 menyediakan insentif bagi syarikat yang mengupah siswazah baharu, rakyat Malaysia yang menganggur atau pekerja yang diberhentikan dalam bidang itu daripada mana-mana industri.

“Individu memiliki kemahiran digital yang terhad dijangka terkesan kerana automasi dan teknologi akan menyebabkan kehilangan pekerjaan. Maka, kami meletakkan pembangunan rakyat digital yang saksama sebagai salah satu objektif utama bukan sahaja celik digital, tetapi tangkas, kompeten dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital.

“Bagi syarikat-syarikat yang menyertai program ini, kami menawarkan insentif bernilai RM23,600 bagi setiap pekerja kepada majikan dalam bentuk penjimatan kos bagi setiap individu yang digaji dan dilatih.

“Oleh itu, majikan boleh menyalurkan penjimatan kepada program-program lain mereka yang berfokus pada pembangunan keupayaan digital seperti lebih banyak program berkaitan upskilling dan reskilling. Saya percaya, ini akan membantu bakat digital Malaysia untuk bertahan dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, tidak mudah untuk memperkasa bakat dan merancakkan ekonomi digital selain latihan kemahiran semula dalam kalangan tenaga kerja masih tidak cukup, walaupun terdapat peningkatan permintaan bagi kemahiran teknikal.

“Cabaran utama dihadapi rakyat adalah memperoleh kemahiran yang diperlukan kekal relevan dengan perubahan keperluan pekerjaan dan pewujudan pekerjaan baharu.

“Pun begitu, kami akan memastikan pertumbuhan bakat digital tempatan berkualiti dan menyumbang kepada ekonomi digital negara melalui program-program yang menjurus kepada pembangunan bakat pelbagai segmen sehingga ke pasaran kerja,” katanya sambil menambah sehingga tahun lalu, MYWiT berjaya membantu 283 individu mendapatkan pekerjaan.

MYWiT merupakan kesinambungan kepada Gerakan #MyDigitalWorkforce yang dilancarkan oleh MDEC pada 2020 dan setakat tahun lalu, gerakan itu telah melatih lebih 1,569 tenaga kerja.

MYWiT layak dimohon oleh majikan-majikan yang diperbadankan di Malaysia dengan modal berbayar minimum RM20,000, menawarkan pekerjaan minimum 12 bulan dan tidak mempunyai hubungan keluarga atau perniagaan rapat dengan pihak MDEC.

Warganegara ini yang tiada pekerjaan tetap sekurang-kurangnya dua bulan, bukan penerima/bekas penerima manfaat mana-mana insentif MYWiT daripada mana-mana syarikat, bukan sebahagian daripada peserta program Jamin Kerja, PenjanaKerjaya dan Penjana KPT-CAP dan bukan ahli keluarga terdekat kepada pengarah atau pemegang saham dalam syarikat pengambilan pekerja layak memohon.

Majikan boleh membuat permohonan dari 5 April 2021 sehingga 31 Ogos 2022 dengan memilih latihan yang bersesuaian, memohon dalam talian, menghantar dokumen sokongan untuk kelulusan MDEC dan menerima surat tawaran daripada MDEC jika diluluskan.

Pun begitu, dokumen diperlukan ialah sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), maklumat pekerjaan, maklumat pekerja (salinan surat tawaran pekerjaan minimum 12 bulan, salinan MyKad pekerja baharu, maklumat pekerja, salinan transkrip akhir/sijil /surat rasmi tamat pengajian daripada universiti/institusi, surat pemberhentian pekerja, sebut harga kursus yang dipilih, profil atau curriculum vitae (CV) pelatih dan pengisytiharan bertulis menyatakan semua maklumat adalah benar dan ditandatangani oleh penandatangan sah majikan.

Pekerja atau individu pula perlu mencari pekerjaan yang bersesuai, membuat permohonan, melalui proses pengambilan pekerja dan dipilih untuk bekerja dan menyertai latihan yang dipilih oleh majikan.

Mengulas lanjut, kata Syafini, MYWiT telah menyaksikan pelbagai kejayaan syarikat yang menyertai program itu apabila ada yang berjaya melatih pekerja untuk mengisi pekerjaan berkemahiran tinggi dan penumpuan terhadap tugasan bermutu tinggi.

Buktinya, syarikat reka bentuk kreatif, Karuna Enterprise Sdn. Bhd. di Kuching, Sarawak, telah mengambil calon berpotensi dengan kelayakan dan kemahiran yang tidak sepadan dengan pekerjaan dimohon dan melatihnya melalui MYWiT.

“Sedangkan, syarikat ini pernah menghadapi kesukaran mencari bakat yang sesuai, lebih-lebih lagi ia berada di Sarawak dan majoritinya bakal digital tertumpu di Semenanjung. Kami gembira melihat hasil kejayaan yang dimilikinya bersama MYWiT,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.mdec.my/mywit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN