MARANG: Seorang murid lelaki tahun tiga mendakwa kaki kanannya patah akibat dihempas oleh seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di daerah ini pada 6 Julai lalu.
Sumber berkata, ibu mangsa berusia 36 tahun menyedari kecederaan dialami kaki kanan anaknya sewaktu mengambil kanak-kanak itu pulang dari kelas tersebut pada pukul 5 petang.
Beliau berkata, mangsa berusia sembilan tahun kemudiannya dibawa ke sebuah klinik swasta berhampiran bagi pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mengesahkan kaki kanan kanak-kanak terbabit telah patah. Mangsa mendakwa ia disebabkan perbuatan guru KAFA terbabit telah menghempasnya ke atas kerusi.
“Tindakan tersebut didakwa dilakukan kerana guru KAFA itu berang dengan perlakuan kanak-kanak lelaki terbabit di dalam kelas sebelum itu,” katanya di sini, hari ini.
Sumber berkata, laporan polis berhubung kejadian tersebut telah dibuat ibu bapa mangsa pada 8 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris mengesahkan kes tersebut dalam disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. –UTUSAN ONLINE











