JOHOR BAHRU: Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) membebaskan kerajaan Malaysia daripada dibelenggu pembangkang.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pembangkang hanya menggunakan MoU berkenaan untuk memanipulasi kerajaan bagi kepentingan politik mereka.
Sepanjang tempoh MoU yang kononnya adalah ‘gencatan politik’, pembangkang tetap menghentam kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.
“Hari ini hari terakhir MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021 antara kerajaan dan pihak pembangkang. Bagi saya, dengan berakhir MoU bermakna kerajaan sudah bebas daripada belenggu pembangkang yang cukup bijak memanipulasinya untuk kepentingan politik mereka.
“Saya nampak pembangkang terutamanya parti-parti dalam PH sengaja memainkan pelbagai isu untuk memburukkan kerajaan Ismail Sabri. Mereka guna MoU untuk memanjangkan hayat politik dan mahu terus pegang jawatan sebagai ahli Parlimen dalam masa sama takut kalau Ismail Sabri bubarkan Parlimen lebih awal.
“Pemimpin PH nampaknya sudah ketagih kuasa dan jawatan selepas pernah jadi kerajaan. Sebab itulah mereka cuba memanipulasi sebaiknya ruang MoU untuk menyusun gerakan bagi rampas balik Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini
Bekas Ahli Parlimen Pulai itu berkata, tindakan PH berterusan mengkritik kerajaan bermakna mereka turut mengkritik UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana Perdana Menteri juga adalah Naib Presiden UMNO.
“Pemimpin PH memang licik dalam memanipulasi isu dan mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan, UMNO dan BN. Mereka tahu jika gunakan taktik mempolitikkan isu rakyat, matlamat boleh menghalalkan cara. Jadi, mereka guna isu subsidi, isu kenaikan harga barang untuk ‘tembak’ kerajaan dan UMNO serta BN.
“Namun, apa yang menghairankan saya adalah kenapa PH hanya jadikan UMNO dan BN sebagai sasaran sedangkan dalam kerajaan Perikatan Nasional ini juga ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas,” jelasnya.
Menurut beliau, tindakan itu mungkin kerana PH menganggap Bersatu dan Pas merupakan sebuah parti politik yang lemah dan tidak perlu diserang atau sebaliknya PH mahu mengekalkan peluang kerjasama antara mereka menjelang PRU15 akan datang.
“PH takut rakyat sudah tak percaya kepada mereka selepas diberi peluang menjadi kerajaan selama 22 bulan tetapi gagal. Sudahlah merosakkan, dalam masa yang sama mereka tak membantu apa-apa pun. Sebaliknya bila penghujung MoU mereka tuntut pula Ismail Sabri dan kerajaan penuhi segala tuntutan dalam MoU itu.
“Memang betul, sekarang ini PH bukan sahaja gagal jadi kerajaan tapi mereka juga gagal sebagai pembangkang, iaitu jawatan tradisi yang mereka sandang sejak mula merdeka dahulu,” tambahnya. – UTUSAN