MELAKA: Kes membabitkan jenayah keldai akaun di Melaka menunjukkan peningkatan sebanyak 13.09 peratus apabila merekodkan sebanyak 501 kes sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, walaupun hanya berlaku pertambahan 58 kes sahaja berbanding tempoh sama tahun lalu, namun ia tetap dianggap serius memandangkan jenayah tersebut menyumbang kerugian jutaan ringgit kepada masyarakat.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 339 kes adalah membabitkan penipuan pembelian dalam talian, pelaburan, pinjaman tidak wujud, serta African Scam dan Macau Scam.
“Macau Scam juga meningkat dengan pertambahan 100 kes menjadikan keseluruhan 157 kes dengan kerugian lebih RM5.3 juta, diikuti penipuan pelaburan sebanyak 107 kes membabitkan kerugian lebih RM2.7 juta.
“Tawaran kerja tidak wujud mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 112 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.7 juta berbanding RM64,920 sebelum ini.
“Daripada keseluruhan jumlah kes, jumlah kerugian direkodkan sebanyak kira-kira RM12.306 juta, meningkat lebih RM2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan dan ramah mesra di sekitar kawasan pelancongan di Banda Hilir di sini, semalam.
Tambah Zainol, untuk African Scam, pinjaman tidak wujud, pembelian dalam talian dan menyamar rakan pinjam wang pula, modus operandi berkenaan menunjukkan trend penurunan bagi enam bulan pertama 2022.
“Antara punca dikenal pasti berlakunya jenayah ini disebabkan taktik digunakan sindiket sentiasa berubah-ubah, kurang pengetahuan membabitkan transaksi kewangan dan desakan hidup.
“Kita merancang mengadakan sesi penerangan dan akan turun berjumpa dengan masyarakat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dalam memberi pendedahan agar orang ramai tidak mudah terpedaya,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE