Masalah infrastruktur punca sukar ke sekolah - Utusan Malaysia

Masalah infrastruktur punca sukar ke sekolah

MURID SK Pinapak menaiki perahu menyusuri Sungai Bengkoka, Pitas untuk ke sekolah. – MINGGUAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kemudahan infrastruktur awam yang belum lengkap antara punca utama menyebabkan pelajar di negeri ini masih berdepan kesukaran ke sekolah setiap hari.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, kesukaran yang ditempuhi oleh pelajar di negeri ini berkaitan masalah laluan me­nuju ke sekolah dan ia berada di bawah bidang kuasa agensi lain.

“Masalah ini bukan hanya melibatkan laluan menuju ke sekolah-sekolah tetapi, kemudahan infrastruktur awam secara menyeluruh terutama di kawasan pedalaman.

“Ia merupakan tanggungjawab pejabat daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

“Namun, kita bekerjasama dengan semua agensi kerajaan untuk memastikan kemudahan infrastruktur awam dapat dipertingkatkan serta berada dalam keadaan baik agar anak-anak boleh datang ke sekolah dalam keadaan yang selamat dan selesa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut beliau, kementerian akan terus meningkatkan kerjasama dengan semua agensi berkaitan dalam mengatasi masalah berkaitan kesukaran yang dihadapi pelajar sekolah.

Mengulas lanjut katanya, isu sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pinapak, Pitas yang bergadai nyawa ke sekolah dengan menaiki perahu kecil tanpa memakai jaket ke­selamatan juga berkait rapat dengan kemudahan infra­struktur awam.

Maka, keperluan jaket ke­selamatan terletak di bawah agensi yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan infra­struktur awam kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 20 peratus atau 100,000 daripada 505,439 pelajar di negeri ini berdepan kesukaran apabila terpaksa menaiki perahu menyeberangi su­ngai, berjalan kaki hampir sejam selain meredah laluan tanah merah dan kawasan berbukit bukau untuk ke sekolah setiap hari.

Pada masa ini, 60 peratus daripada 1,075 sekolah rendah di negeri ini berada di kawasan pedalaman dan luar bandar, ia menyebabkan murid terpaksa mengharungi situasi berkenaan saban hari demi menuntut ilmu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya