Malaysia perlu kerangka amalan jelas tentang dana politik

Malaysia perlu kerangka amalan jelas tentang dana politik

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memerlukan satu undang-undang dan kerangka amalan yang khusus dan jelas berkaitan dana politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia susulan banyak ahli politik disiasat kerana dana yang disifatkan sebagai dana politik yang datangnya dari sumber-sumber seperti syarikat korporat, kutipan orang awam malah sumbangan dari entiti luar negara. 

“Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut, biarlah mahkamah dan proses undang-undang yang menentukannya. Persepsi serta pandangan awam tidak akan bersifat objektif dan sudah pastilah setiap satu pihak mempunyai pendirian yang berbeza dan tersendiri.

“Cuma, dari seri undang-undang, berdasarkan peruntukan dan kerangka sedia ada, pemberian dana seperti itu yang disifatkan sebagai dana politik selalunya dilihat sebagai tidak sah dan melibatkan pelbagai konflik kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kewujudan undang-undang khusus dan jelas berkenaan pendanaan politik, akan memberikan beberapa kelebihan.

“Pertama, akan ada kriteria dan definisi yang jelas tentang bentuk dan saluranya yang sah. Perkara ini membolehkan kita menghalang dan menghukum sebarang pemberian atau penerimaan dana yang tidak mematuhi peruntukan yang jelas tersebut.

“Kedua, kewujudan undang-undang khas dan jelas berkaitan pendanaan politik membolehkan proses semakan, audit serta laporan segala dana berkaitan politik diwajibkan ke atas semua parti politik,” kata beliau.

Menjelaskan lanjut beliau berkata, kelebihan lain mewujudkan undang-undang sebegitu adalah memastikan pergerakan politik tidak bergantung kepada sumber wang yang tidak jelas, diragukan serta mempunyai konflik kepentingan yang serius.

“Dengan adanya undang-undang khas ini, negara kita tidak perlu lagi bermain-main dengan persepsi dan perbahasan tentang apakah sesuatu dana itu sah atau tidak.

“Undang-undang pendanaan politik menggambarkan yang kita tidak berpura-pura dan berpijak di bumi yang nyata. Bahawa, banyak aktiviti serta pergerakan politik memerlukan dana yang konsisten, jelas dan sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya