PETALING JAYA: Malaysia mampu menangani isu inflasi makanan yang tidak terkawal jika kerajaan memerintah stabil dan kompeten.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dasuki berkata, setiap strategi yang dilaksanakan itu, bagaimanapun berisiko tumpul jika kerajaan campuran bersifat hibrid pada masa ini terus dilihat goyah hingga tidak diendahkan pemain industri dan pelabur.
Katanya, strategi menangani inflasi makanan memerlukan pendekatan holistik semua pihak dari awal proses pengeluaran hingga kepada agihan di pasaran.
“Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sepatutnya memfokuskan perkara-perkara lebih fundamental yang menjadi faktor harga barang naik termasuk strategi meningkatkan keyakinan terhadap ringgit Malaysiadi samping pendekatan ampuh untuk menarik pelabur dan memastikan bekalan minyak masak peket cukup di pasaran.
“Malah, kerajaan juga perlu merangka polisi untuk meningkatkan pelaburan dalam pengeluaran makanan sebagai strategi jangka panjang jaminan keselamatan makanan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Selain Annuar, pasukan khas dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mempersoal peranan Majlis Pemulihan Ekonomi, Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Kos Sara Hidup dan lain-lain badan yang menelan belanja jutaan ringgit.
Malah, katanya, bidang kuasa majlis berkenaan juga bertindan selain dianggotai kalangan menteri-menteri sama. – UTUSAN










