Malaysia alu-alukan lebih banyak pelaburan dari China

Malaysia alu-alukan lebih banyak pelaburan dari China

SAIFUDDIN Abdullah bersama Wang Yi menyaksikan sesi menandatangani MoU antara Malaysia dan Republik Rakyat China iaitu wakil dari China Meteorological Administration dan Malaysian Meteorological Department on CMAcast selepas Mesyuarat Dua Hala di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari China dalam bidang ekonomi digital selain memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana negara memandang serius kepentingan bidang tersebut sebagai satu langkah ke depan mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

“Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita (Malaysia dan China) bekerjasama lebih rapat antara syarikat telekomunikasi dan bidang lain yang berkaitan dengan ekonomi digital,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat dua hala bersama Menteri Luar China, Wang Yi, di sini.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut menyifatkan perbincangan yang dilakukan antara kedua-dua negara itu sebagai satu perbincangan dua hala yang produktif dan berjaya.

Katanya, ini kerana ia menyentuh pelbagai aspek isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama, selain mempergiat lagi program kerjasama antara kedua-dua negara.

“Tahun depan juga menandakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif kedua-dua negara dengan kedua-dua pihak bersetuju bahawa kita harus bersedia untuk memperingati peristiwa penting dalam hubungan ini.

“Kami juga membincangkan perkara seperti projek ‘Two Countries, Twin Parks’, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan kerjasama Automotive High-Tech Valley. Di bawah projek ‘twin park’, China meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP), sementara Malaysia sedang membuat persiapan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) ulang tahun ke-10 pada 2023.

“Namun, kami bersetuju bahawa perkara paling penting adalah meraikan ulang tahun ke-10 ‘twin park’ antara kedua-dua negara tak kira tahun apa pun,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Malaysia mengalu-alukan inisiatif China untuk menggalakkan keterbukaan, keterangkuman dan saling menghormati.

Katanya, ini kerana konsep itu pada dasarnya disokong negara ini.

“Kami mengikuti rapat konsep ‘komuniti masa depan bersama’, cetusan idea Presiden China, Xi Jinping dan idea serta aspirasi ini sangat selaras dengan konsep ‘dunia adalah keluarga’ yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Berhubung inisiatif pembangunan global yang disyorkan Presiden Xi Jinping, kami melihatnya sebagai peluang untuk kita bersama-sama menyediakan pembangunan global yang lebih teguh dan lebih inklusif. Ia juga berkait Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 seperti yang dipersetujui.

“Saya juga mengharapkan lebih banyak lawatan peringkat tinggi pada tahun akan datang bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya