Mahkamah tolak permohonan gantung perintah pulangkan aset Najib, Rosmah - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak permohonan gantung perintah pulangkan aset Najib, Rosmah

Najib Tun Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung perintah agar mereka memulangkan barangan berharga milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan lima pihak lain yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati permohonan penggantungan perintah itu tidak mempunyai sebarang alasan munasabah.

Pada 8 November lalu, hakim sama menolak permohonan kerajaan atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan harta yang dirampas daripada Najib, Rosmah, anak mereka iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), Nor Ashman dan Nooryana Najwa, dibeli menggunakan wang dalam akaun bank bekas Perdana Menteri itu.

Harta-harta yang dirampas oleh pihak polis di antara 17 Mei 2018 dan 11 Mac 2019 itu termasuk beg tangan berjenama, wang tunai dalam pelbagai mata wang, jam tangan, kasut dan 27 kenderaan.

Pada tarikh sama, mahkamah turut menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak wang yang disimpan dalam tiga akaun bank Hong Leong dan banglo RM15 juta di Pulau Pinang milik Goh Gaik Ewe iaitu ibu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Permohonan untuk melucut hak harta empat pihak lain ialah Senijauhar Sdn. Bhd., Aiman Ruslan, bekas pegawai Goldman Sachs Ng Chong Hwa (Roger Ng) dan isterinya, Lim Hwee Bin, turut ditolak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong ketika berhujah berkata, pihak pendakwaan masih mempunyai kuasa terhadap barangan yang disita sehingga rayuan berhubung keputusan mahkamah terdahulu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Tambahnya, rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan untuk melucut hak barangan rampasan itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 6 September ini.

Bagaimanapun, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng dan isterinya menghujahkan bahawa pihak berkuasa membenarkan akses secara langsung kepada akaun bank milik pasangan itu susulan saman yang difailkan mereka terhadap dua bank tersebut iaitu Maybank (cawangan Plaza Damansara) dan RHB Bank (cawangan Bangsar Shopping Centre Office Tower).

Namun, peguam itu memaklumkan, beliau tidak mengetahui sama ada wang di dalam akaun milik anak guamnya masih wujud.

Sementara itu, peguam-peguam, Mardhiyah Siraj dan Azamuddin Aziz yang mewakili Najib, Riza Shahriz dan Nor Ashman memohon agar mahkamah menolak permohonan untuk menggantung perintah pemulangan harta atas alasan tidak wujud keadaan istimewa yang membenarkan penggantungan itu.

“Pemohon (pendakwaan) juga tidak lagi mempunyai kuasa untuk menangguhkan kerana perintah sita selama 12 bulan telah tamat,”katanya.

Pada 8 Mei 2019, kerajaan selaku pemohon memfailkan notis pelucuthakan berhubung beratus-ratus item termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan yang dirampas.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 56(1) dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan bahawa pendakwaan berpuas hati kesemua item yang dirampas mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan atau sebagai hasil aktiviti haram.  –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.