LTAT kesal kakitangan piket, walaupun gaji naik lebih 30 peratus

LTAT kesal kakitangan piket, walaupun gaji naik lebih 30 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengakui kesal dengan tindakan Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT) mengadakan piket di Bangunan LTAT, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Sedangkan, katanya, tiada staf LTAT yang hilang pekerjaan serta pengurangan gaji asas mahupun elaun bulanan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Malah, katanya, beberapa sesi perbincangan dan penjelasan kepada KKLTAT termasuk melalui forum rasmi Mesyuarat Bersama Jabatan telah dianjurkan bagi membincangkan tuntutan KKLTAT supaya gaji kakitangan diselaraskan kepada 15 peratus dan dibayar secara tunggakan ke tahun 2020.

“Tuntutan ini sememangnya dalam proses pelaksanaan dan akan diselaraskan bukan secara pukul rata sepertimana amalan sebelum ini, tetapi secara individu mengikut pemetaan gaji yang wajar.

“Oleh kerana itu, sebahagian kakitangan yang berada di bawah P50 (tanda aras gaji pasaran) bakal menikmati penyelarasan gaji sehingga 36 peratus selain daripada bayaran sara hidup sebanyak RM5,200 setiap seorang.

“Namun, pihak pengurusan rasa kesal dengan keputusan KKLTAT untuk meneruskan piket walaupun pelan penyelarasan gaji dan bayaran sara hidup telah dimaklumkan lebih awal,” katanya dalam kenyataan.

Sejak 2020, LTAT memaklumkan bahawa pihaknya terus membayar bonus tahunan maksimum tiga bulan.

“Kadar peratusan kenaikan gaji tahunan staf dari tahun 2020 hingga 2022 juga meningkat dari maksimum 5.5 hingga 7.0 peratus mengikut prestasi masing-masing.

“LTAT juga memberi Bantuan Sara Hidup Khas Covid dari tahun 2020 hingga 2021 kepada staf yang terjejas dengan jumlah keseluruhan RM36,590. 

“LTAT juga memberi inisiatif tambahan dalam bentuk moratorium agar staf yang meminjam daripada LTAT tidak perlu melakukan pembayaran balik pinjaman bagi tempoh enam bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN