Lelaki pecah cermin kereta diburu polis - Utusan Malaysia

Lelaki pecah cermin kereta diburu polis

TANGKAP layar yang menunjukkan suspek bertindak memecahkan cermin pada bahagian tempat duduk pemandu sebuah kereta yang dipandu seorang wanita di kawasan simpang empat Limbat, Kota Bharu, Kelantan kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis sedang memburu seorang lelaki yang bertindak memecahkan cermin kereta dan mengugut seorang wanita dalam kejadian di kawasan simpang empat Limbat di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang berusia 40 tahun selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 35 tahun.

Menurutnya, susulan itu polis telah menjalankan serbuan ke rumah suspek di Nilam Puri di sini kira-kira pukul 2.30 pagi tadi, namun lelaki tersebut dipercayai telah menghilangkan diri.

“Mengikut keterangan mangsa, dia memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia seorang diri sebelum dihimpit sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek kira-kira pukul 5.45 petang kelmarin.

“Lelaki itu secara tiba-tiba suspek telah menghalang laluan mangsa dan berhenti di tengah jalan. Suspek telah menghampiri kereta wanita itu sebelum memecahkan cermin kereta dan mengugut mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 dan Seksyen 427 kanun sama.

Katanya, beliau mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak bertindak mengikut perasaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi dua minit 17 saat yang dirakam oleh mangsa selepas kereta dipandunya dihimpit sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Menerusi video itu, suspek dilihat keluar dari keretanya dan kemudian memecahkan cermin kereta yang dinaiki oleh mangsa. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN