KOTA BHARU: Seorang lelaki yang memuat naik kandungan video menghina agama Islam diberkas polis dalam serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, di sini pagi tadi.
Suspek berusia 35 tahun yang dikesan positif dadah jenis methamphetamine ditahan pada pukul 11.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penghinaan terhadap agama Islam pada pukul 9 pagi menerusi satu klip video berdurasi 4 minit 14 saat.
Menurutnya, suspek tersebut dilaporkan memuat naik video penghinaan melalui laman Facebook dengan nama samaran yang jelas menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
“Suspek tidak bekerja dan saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah memuat naik klip video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Zaki memberitahu, polis akan mendapatkan perintah reman bagi menjalankan siasatan lanjut berkait kes berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu tular di laman sosial klip video yang memaparkan tindakan suspek melontarkan kata-kata penghinaan terhadap agama Islam sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai. – UTUSAN