KAJANG: Seorang lelaki didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyebabkan kematian, memiliki senapang patah dan butir peluru tanpa permit sah, dalam kejadian tembakan di Sungai Gabai, minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Sali Hashim, 43, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Syahrul Sazly Md. Sain.
Di hadapan Muhammad Noor Firdaus, mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan gopoh sehingga menyebabkan kematian ke atas Mohd. Izzwan Ahmad Shakri, 32, di Hutan Simpan Sungai Gabai Batu 18, Ulu Langat di sini pukul 4.30 pagi pada 6 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Sali didakwa dalam milikannya selaras senapang patah jenis Stevens No Stevens Of -26 tanpa permit yang sah pukul 12 tengah hari pada tempat dan tarikh sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu di hadapan Majistret Syahrul Sazly, Sali mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu dalam milikannya tujuh butir amunisi tanpa lesen yang sah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat di sini pukul 11.30 pagi pada 8 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duannya,jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman dan Nurul Husna Amran manakala tertuduh yang diwakili peguam Roland Engan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 bagi dua pertuduhan dan RM5,000 untuk satu pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos untuk sebutan kes
Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tertembak rakan dalam kejadian di sekitar Sungai Gabai, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.15 pagi apabila empat lelaki terbabit dalam perjalanan ke kebun durian yang terletak di atas lereng bukit.
Menurut polis hasil siasatan mendapati salah seorang rakan mangsa yang membawa senapang patah telah tergelincir di lereng bukit mengakibatkan senjata api yang dipegang terpelanting.
“Mangsa yang merupakan lelaki berusia 32 tahun itu telah terkena tembakan sebelum disahkan mati di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Zaid, siasatan forensik mendapati terdapat beberapa kesan tembakan peluru di badan mangsa dipercayai dari senapang patah yang dibawa salah seorang suspek berkenaan.
Hasil semakan pula menunjukkan senjata api itu dilesenkan atas nama bapa saudara kepada salah seorang rakan mangsa. –UTUSAN ONLINE











