BUKIT MERTAJAM: Satu petisyen bertulis mengandungi kira-kira 1,662 tandatangan penduduk yang membantah cadangan projek Taman Teknologi Pulau Pinang termasuk cadangan Pembangunan Kuarters (Penginapan) Pekerja Berpusat CLQ di Bertam diserahkan kepada wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Bandar Perda, semalam.
Hadir menyerahkan petisyen bertulis itu ialah Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam (Lekas), Zikrullah Ismail bersama Setiausaha Badan Bertindak Bantahan projek terbabit, Dr. Muhammad Azrul Zabidi.
Bercakap kepada pemberita selepas sesi penyerahan tersebut, Zikrullah berkata, petisyen bertulis itu dikumpul selama lima hari bermula 20 Julai lalu.
Katanya, antara faktor yang menjurus ke arah pengumpulan petisyen bertulis itu ialah disebabkan dakwaan berlakunya kelulusan kajian Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) terhadap projek tersebut secara ‘tiba-tiba’.
“Jadi, bila tiba-tiba sahaja boleh lulus, itu yang menjadi persoalan. Ia seolah-olah memberi gambaran (kebanyakan) penduduk setuju (pembangunan CLQ dan projek Taman Teknologi Pulau Pinang),” katanya.
Mengulas lanjut, Zikrullah turut menggesa pihak berwajib khususnya MBSP melalui Jabatan Perancang Bandar melihat semula kewajaran projek itu dibangunkan memandangkan masih lagi belum mendapat kelulusan merancang penuh ketika ini.
“Masih ada ruang (untuk menilai semula) dan saya juga dimaklumkan draf perancangan tempatan pun masih di peringkat awal,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Azrul memberitahu, sebelum petisyen bertulis itu dilancarkan, mereka telah melancarkan satu petisyen secara dalam talian bermula 19 Mei lalu dan berjaya mengumpul sehingga 6,533 sokongan bagi membantah projek terbabit.
“Petisyen bantahan secara bertulis ini dilancarkan setelah mendapati kajian Laporan SIA oleh penggerak projek (Lestari Duta) mendakwa 68.9 peratus atau 106 penduduk zon teras dan 72.7 peratus (188 orang penduduk zon penampan) menyokong projek tersebut.
“Hasil dapatan itu bagaimanapun dipertikaikan kerana tidak mewakili suara sebenar komuniti yang terlibat dan jumlah 411 responden yang terlibat dalam kajian SIA itu adalah terlalu kecil,” ujarnya.
Difahamkan, selain MBSP petisyen yang sama turut dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang serta agensi berkaitan beberapa hari lalu.- UTUSAN