Hujung minggu yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Kesempatan cuti panjang sempena Hari Malaysia turut dimanfaatkan oleh ramai bakal pengantin untuk melangkah ke hari bahagia.
Saya yakin, perhatian rakyat Malaysia pasti tertumpu kepada dua selebriti terkenal, Fattah Amin dan Amira Othman, yang akan disatukan esok.
Sebut tentang majlis perkahwinan, seolah-olah tidak lengkap kemeriahannya tanpa goodies.
Cenderahati kecil ini sudah menjadi sebahagian daripada budaya perkahwinan moden.
Dahulu, tradisinya sederhana sahaja dengan bunga telur atau kuih bahulu diberikan sebagai tanda kenang-kenangan buat tetamu.
Tetapi kini, isi kandungan goodies kahwin semakin pelbagai, tidak hanya terhad kepada makanan, malah merangkumi barangan harian dan hiasan kecil.
Ada pengantin yang menyediakan kek cawan, biskut, coklat, gula-gula, kerepek, keropok, air minuman di samping beras, kicap, serbuk teh dan roti.
Tidak ketinggalan barangan seperti tuala mini, lilin wangi, sabun, cawan, mangkuk, kutleri, botol air kecil, kipas dan beg pouch atau kitar semula.
Selain itu, sejadah mini dan tasbih turut popular bagi dijadikan sebagai goodies kahwin.
Namun, tidak semua tetamu benar-benar menghargai isi goodies ini terutama jika ia adalah barangan dan hiasan.
Ada yang sekadar mengambil dan menyimpannya di dalam rak di rumah.
Malah, ada juga yang sengaja meninggalkannya di dewan majlis atau membuangnya setelah pulang.
Pemandangan sebegitu sudah tidak asing, malah kerap dilihat dalam walimatulurus sanak-saudara mahupun sahabat.
Sedangkan kos pembelian goodies bukanlah murah, dengan rata-ratanya melebihi RM5 seunit.
Itu belum termasuk aksesori tambahan seperti riben, kotak dan beg, apatah lagi jika ditempah khas dengan cetakan nama pengantin.
Jika 1,000 unit disediakan, jumlah keseluruhan yang dilaburkan untuk goodies sahaja boleh mencecah sehingga RM5,000.
Walaupun niat pengantin baik, tetapi kreativiti mereka untuk memastikan goodies menarik kadang-kadang tidak selari dengan minat atau keperluan tetamu.
Tidak hairanlah dalam satu komen di TikTok yang pernah saya baca, beberapa individu menasihatkan bakal pengantin supaya tidak lagi memberikan sejadah mini sebagai cenderahati.
Alasannya mudah, kerana ramai tetamu sebenarnya sudah memiliki puluhan barangan itu di rumah.
Kesemuanya diperoleh daripada goodies kahwin serta majlis agama sebelum ini dan akhirnya, sejadah mini tersebut hanya tersimpan tanpa digunakan.
Selepas ini, mungkin bakal-bakal pengantin boleh memikirkan goodies yang lebih praktikal dan bermanfaat untuk para jemputan.
Paling penting, elakkan pembaziran kerana goodies kahwin bukanlah satu kewajipan.
Yang lebih penting ialah menyediakan makanan berkualiti untuk para tetamu.
-Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia









