Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dijangka beroperasi 2026

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dijangka beroperasi 2026

TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Pembangunan Bercampur Bandar Aeroangkasa di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri hari ini menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Pemajuan Pembangunan Bercampur Bandar Aeroangkasa di kawasan Gebeng, di sini. 

Majlis itu disaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sebuah hotel di pusat bandar raya ini, hari ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, MoU ditandatangani  Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Khusaini Harumaini yang mewakili kerajaan negeri bersama Pengerusi Eksekutif Gading Group Berhad, Datuk Seri Johari Harun (pemaju utama), serta Ketua Perwakilan AVIC Intl ke Malaysia, Zhuo Yue. selaku rakan strategik projek tersebut.

 “Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dengan kos pembangunan RM2 bilion bermula tahun depan dan dijangka beroperasi pada 2026,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Wan Rosdy berkata, bagi Pemajuan Pembangunan Bercampur Bandar Aero-angkasa, MoU ditandatangani oleh Johari dan Pengarah Syabas Seribumi Sdn. Bhd., Mohamad Nor Hamid. selaku rakan strategik. 

 Pelaksanaan projek ini, katanya, diilhamkan pada akhir 2019, dan mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 21 Oktober lalu. 

 “Ia adalah projek berimpak tinggi yang melibatkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu dan seterusnya menyokong Rancangan Fizikal Negara Ke-3 iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu.

 “Pelaksanaan projek ini turut mengambil kira faktor hub ekonomi yang lain kerana ia terletak di Kawasan Industri Gebeng selain berhampiran Pelabuhan Kuantan dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), serta menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur.

 “Pemajuan projek ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri melibatkan Gross Development Value (GDV) RM7.5 bilion setahun atau bersamaan RM150 bilion dalam tempoh 20 tahun,” katanya. 

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga menyasarkan menguasai sekurang-kurangnya satu peratus pasaran Maintenance, Overhaul & Repair (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion.

 Komponen projek berkenaan, katanya, melibatkan 70 peratus untuk MRO dan 30 peratus bagi pengoperasian lapangan terbang itu sendiri.

 “Pembangunan projek ini dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng, Kuantan secara usahasama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang berkonsepkan pembangunan secara Build-Operate-Own (BOO) di mana pengoperasian lapangan terbang ini akan dikendalikan oleh pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad.

 “Projek ini juga bakal membuka peluang pekerjaan baharu dengan sasaran 20,000 peluang pekerjaan bagi pengoperasian lapangan terbang serta 30,000 peluang pekerjaan lain melibatkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir melalui pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.

 “Melalui projek ini juga, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan kedatangan seramai 40.79 juta orang pelancong bagi 2050 setelah mengambil kira situasi normal tanpa isu pandemik dan kemasukan pelabur-pelabur baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.