Lantik pasukan pantau rumah sembelihan luar negara

Jakim perlu lantik pasukan pantau rumah sembelihan luar negara

JAKIM perlu segera tubuh satu badan siasatan bagi menyiasat kepincangan integriti melibatkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berhubung isu pelanggaran protokol halal sebuah rumah sembelihan di Australia. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa melantik pasukan pemantau di rumah-rumah sembelihan di luar negara bagi mengelak insiden pelanggaran protokol sembelihan halal dan isu daging import yang diragui status halalnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persa­tuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pemantauan serius perlu dilakukan bagi memastikan kejadian sama melibatkan Thomas Food Industries (TFI) di Lobethal, Australia tidak berulang.

Katanya, Jakim boleh menggunakan khidmat imam di masjid atau pelajar di negara berkenaan yang bertauliah untuk membantu mengendalikan tugasan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya yakin kalau perkara berkaitan pemantauan ini diambil serius, tentunya rumah-rumah sembelihan mahu pun badan pensijilan halal di Australia gerun untuk melanggar protokol ditetapkan.

“Sudah sampai masanya, Jakim melantik pasukan pemantau atas pemantau bagi memperkasa lagi aktiviti pemantauan di rumah-rumah sembelihan di sana,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Utusan Malaysia membongkar status halal me­ragukan sebuah rumah sembelihan di Brisbane, Queensland, Australia yang didakwa mengen­dalikan kerja-kerja penyembelihan lembu secara kaedah menembak pelalian teka­nan bagi melemahkan haiwan sebelum disembelih.

Perkara itu didedahkan bekas pekerja rumah sembelihan itu yang dikenali sebagai Osama bahawa pihak penyelia dan pengurusan syarikat langsung tidak mengendahkan pemeriksaan kepala haiwan secara teliti sebelum mengesahkan kerja-kerja penyembelihan dilakukan mematuhi prosedur halal.

Katanya, rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan badan pensijilan halal, Akreditasi dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) itu mengeksport 70 peratus produk daging mereka ke Indonesia dan Si­ngapura selain beberapa negara Islam lain.

Malah, AHDAA dalam proses mahu mendapatkan kelulusan daripada Jakim untuk membenarkan produk daging dari semua rumah sembelihan di bawah penyeliaan mereka turut boleh memasuki pasaran Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden Gabu­ngan Persatuan-Per­satuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar insiden terdahulu dan mengetatkan proses pemantauan di rumah-rumah sembelihan.

“Pastikan mereka patuh protokol halal ditetapkan dan kalau gagal, Jakim perlu memberi amaran kepada badan pensijilan halal terlibat atau menamatkan perkhidmatan serta-merta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN