Korporat perlu terlibat aktiviti kemasyarakatan - Raja Muda Perlis

Korporat perlu terlibat aktiviti kemasyarakatan – Raja Muda Perlis

PESERTA  Program Kayuhan Tautan Kasih: FGV Prihatin, MAIPs Peduli 2022 merakam gambar kenangan di Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Tanjung Malim, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Syarikat-syarikat korporat digalakkan terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan supaya semua pihak dapat menikmati limpahan ekonomi hasil daripada kejayaan dan pencapaian mereka.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pembabitan dalam aktiviti kemasyarakatan itu juga penting dalam mendepani pelbagai cabaran terutama pada masa depan. 

“Ini kerana menerusi perhubungan kemasyarakatan yang erat, sebuah generasi yang seimbang dari segi moral dan intelektual dapat dibentuk di samping tersemainya budaya bertolak ansur, memahami antara satu sama lain dan memupuk semangat perpaduan jitu dalam kalangan rakyat tanpa mengira warna kulit, kaum serta keturunan.

“Justeru, lebih banyak syarikat korporat seperti FGV (Felda Global Ventures) perlu tampil meneruskan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan agar semua pihak khususnya golongan yang memerlukan dapat turut sama merasai sedikit limpahan ‘nikmat’ yang dikecapi oleh syarikat-syarikat korporat ini,” titah baginda.

ANTARA aktiviti Program Kayuhan Tautan Kasih: FGV Prihatin, MAIPs Peduli 2022.

Baginda bertitah demikian sempena Program Kayuhan Tautan Kasih: FGV Prihatin, MAIPs Peduli 2022 anjuran FGV Holdings Berhad di Felda Gunung Besout 2, Sungkai, di sini, semalam.

Keberangkatan baginda ke program kayuhan amal bagi kali keempat bersama FGV diiringi Pengerusi FGV Holdings Berhad, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor.

Yang turut serta Mufti Perlis,  Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd Noor.

Kira-kira 150 peserta termasuk ahli-ahli Kelab Berbasikal TTG Perlis dan TTG Kuala Lumpur mengambil bahagian dalam kayuhan 15 kilometer itu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, melalui pendekatan bersemuka sambil bermesra seperti itu, ia turut memberi peluang kepada semua pihak terutama FGV dan Felda menguatkan lagi hubungan bermasyarakat dan bersosial dengan komuniti di sekitar kawasan operasi syarikat mereka.

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnaan penanaman pokok Durian Udang Merah sebagai simbolik keberangkatan baginda ke Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Tanjung Malim, Perak.

Program dimulakan dengan penyempurnaan penanaman sepohon pokok Durian Udang Merah oleh Tuanku Raja Muda Perlis sebagai simbolik tanda kenangan keberangkatan baginda ke Felda berkenaan.

Selain berbasikal, baginda singgah menyaksikan penyerahan sumbangan daripada FGV yang diwakili Mohd Nazrul Izan kepada tiga buah rumah asnaf terpilih.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan Zakat FGV kepada 27  asnaf terpilih, lima buah sekolah agama rakyat dan Masjid Felda Gunung Besout 2 oleh Dzulkifli. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya