PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dua hospital besar di ibu negara dilanda krisis kekurangan doktor dan pegawai perubatan.
Krisis itu didakwa berlaku apabila jumlah doktor sedia ada tidak mencukupi untuk merawat pesakit, malah kira-kira 40 peratus daripada doktor junior berhasrat meletak jawatan kerana mendakwa tidak sanggup lagi menanggung beban tugas yang semakin meningkat.
Kekurangan doktor dan pegawai perubatan di hospital-hospital negeri cuba ditangani dengan menugaskan doktor junior dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA-Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur) bermula 18 Julai ini.
Namun, apabila doktor junior keluar beramai-ramai dari hospital di ibu negara, mereka tidak dapat digantikan dengan segera sekali gus menimbulkan krisis.
Krisis ini menyebabkan doktor-doktor sedia ada terpaksa dibebankan dengan tugas merawat pesakit berjam-jam tanpa lebih 12 jam dan perlu dalam keadaan sedia (on-call) sehingga 10 kali dalam tempoh sebulan.
Malah, krisis itu juga menyebabkan para pesakit terpaksa menunggu sekurang-kurangnya dua atau tiga jam untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan menafi senario tersebut sebaliknya mereka mendakwa sedang merancang pertukaran masuk pegawai perubatan dari negeri lain ke HKL dan HTA bagi menggantikan pegawai perubatan yang bertukar keluar.
Katanya, langkah itu selaras dengan pertukaran keluar pegawai perubatan dari kedua-dua hospital berkenaan pada 18 Julai ini dan menyifatkan urusan pertukaran adalah prosedur biasa yang dilaksanakan bagi melaksanakan arahan dan memproses permohonan pertukaran pegawai dari semasa ke semasa.
“Sehubungan itu, isu berlaku krisis kekurangan Pegawai Perubatan di HKL dan HTA adalah tidak berbangkit,” katanya semalam.
Terdahulu, tular surat daripada HKL berhubung isu kekurangan pegawai perubatan di hospital erikutan pertukaran keluar pegawai perubatan bermula pada 18 Julai ini seperti didedahkan Gerakan Hartal Doktor Kontrak.
Surat jemputan yang berjudul ‘Sesi Perjumpaan Pegawai Perubatan Bidang Pengurusan’ dikeluarkan oleh pihak Pengurusan Tertinggi Hospital Kuala Lumpur.
Dalam surat tersebut, Timbalan Pengarah Perubatan II Hospital Kuala Lumpur, Dr. Marina Abdullah Sani menjemput semua pegawai perubatan pengurusan di jabatan masing-masing bagi membincangkan penyelesaian isu ini.- UTUSAN










