fbpx

Kilang pembungkusan di Melaka tipu berat minyak peket

NORENA Jaafar (kanan) menunjukkan minyak masak peket satu kg yang memiliki logo subsidi ketika membuat pemeriksaan mengejut di kilang pembungkusan sekitar Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA: Sebuah kilang pembungkusan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) di negeri ini dikesan mengurangkan jumlah timbangan setiap pek sehingga 100 gram.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, susulan penemuan itu, pihaknya menyita 850 peket minyak masak berkenaan kerana didapati tidak cukup berat timbangan.

Pihaknya akan melakukan siasatan lanjut terhadap salah laku berkenaan  mengikut seksyen 5 (1) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 6 (1) (b) akta sama yang boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama, manakala RM500,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Semasa melakukan pemeriksaan rutin semalam, kami dapati berat satu pek minyak masak bersubsidi tidak sampai 1kg iaitu berat antara 900 gram hingga 980 gram.

“Pengilang memberi alasan masalah teknikal mesin penimbang. Namun, jumlah timbangan sangat ketara. Minyak masak bersubsidi mesti satu kg dan ke atas kerana itu adalah syarat dan tidak boleh kurang. 

“Buat masa ini, kilang tersebut masih dibenarkan beroperasi tetapi dipantau KPDNHEP,” katanya dalam sidang akhbar selepas pemeriksaan mengejut di beberapa kilang pembungkusan di Batu Berendam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan minyak masak peket tidak cukup berat tersebut telah diedarkan ke pasaran.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka bagi mengkaji segala kemungkinan memandangkan kilang tersebut beroperasi lebih 10 tahun.

“Kita nak lihat perjalanan barang (minyak masak peket) ke mana. Bukti kukuh diperlukan dalam satu-satu kes sama ada disengajakan atau tidak. 

“Contohnya, jika kita dapati minyak masak ini sudah dihantar ke pasar raya, maka, ia akan ditarik semula. Sekiranya disebabkan masalah mesin timbangan, kami akan panggil pakar untuk menilainya,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!