SHAH ALAM: Kesihatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak berubah sejak beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di ibu negara Jumaat lalu.
Bagaimanapun, bekas setiausaha politiknya, Faekah Husin berkata, bekas Menteri Besar Selangor itu sedar sepanjang menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Ya, sedar, Alhamdulillah. Tetapi, belum ada perkembangan positif, namun Tan Sri (Abdul Khalid) kekal bertahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Faekah sebelum ini berkata, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu mengalami masalah jangkitan kuman pada paru-paru.
“Tan Sri memang mengalami kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis sejak dua ke tiga tahun lalu. Semasa menerima rawatan, beliau terkena jangkitan kuman pada injap jantung dan menjalani pembedahan.
“Masalah sekarang ialah terdapat jangkitan pada paru-paru. Doktor memberikan rawatan antibiotik. Harap-harap ada perkembangan positif dalam sehari dua ini,” kata Faekah.
Terdahulu, Faekah dalam kenyataan di Facebooknya memaklumkan kesihatan Abdul Khalid, 75, merosot dengan melihat beberapa jururawat menyediakan peralatan rawatan ke atas Abdul Khalid di rumahnya.
Bagaimanapun, ketika itu beliau tidak sempat menziarah Abdul Khalid secara dekat kerana bekas Menteri Besar itu terlalu sensitif dengan keadaan persekitaran luar. – UTUSAN