JOHOR BAHRU: Kes kumulatif bagi penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mencatatkan peningkatan iaitu 8,376 kes sejak awal tahun hingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 79 kali ganda berbanding 106 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.
Menurutnya, walaupun terdapat peningkatan kes HFMD, namun situasi itu masih dalam keadaan terkawal.
“Ini dibuktikan dengan penurunan ketara trend kes HFMD yang dilaporkan di negeri Johor bermula pada awal bulan lalu hingga minggu lalu.
“Kebanyakan kes HFMD di negeri ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang enam tahun, iaitu sebanyak 7,214 kes, diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun dengan 998 kes dan selebihnya berumur lebih 13 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tian Soon berkata, Johor Bahru mencatatkan bilangan kes HFMD tertinggi dengan 2,897 kes, diikuti Kluang (1,093), Tangkak (883), Batu Pahat (846), Segamat (752), Kota Tinggi (650), Pontian (539), Muar (325), Kulai (266) dan Mersing (125).
Hingga kini, hanya terdapat satu wabak aktif HFMD, iaitu melibatkan daerah Johor Bahru.
“Lokasi penularan wabak HFMD di negeri ini melibatkan taska (45 wabak), rumah persendirian (22), tabika (13), tadika (9), prasekolah (9), sekolah rendah (3), pusat jagaan harian (3) dan lain-lain (2),” katanya.
Menurutnya, bagi wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI), sebanyak 1,352 kes jangkitan saluran pernafasan setakat minggu lalu.
Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2.4 kali ganda berbanding 574 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.
Bilangan kluster wabak salur pernafasan juga menunjukkan peningkatan, iaitu sebanyak 16 kluster berbanding hanya lapan bagi tempoh yang sama tahun lalu serta kebanyakan kluster melibatkan institusi pendidikan. – UTUSAN










