Kertas konsep DUN Belia Melaka dibentang Ogos - Utusan Malaysia

Kertas konsep DUN Belia Melaka dibentang Ogos

VP. Shanmugam pada hari ketiga sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kertas konsep Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Melaka akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk permohonan, peruntukan dan kelulusan pada Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam memaklumkan, setakat ini status DUN Belia Melaka masih di peringkat pemurnian dan akan mengguna pakai kaedah Parlimen Belia Malaysia.

Menurut beliau, perincian mengenai cadangan itu telah dibuat pada Mac dan perancangan lebih komprehensif akan mula dilaksanakan Oktober tahun ini.

“Antara perincian yang akan dilakukan adalah dengan mengadakan jawatankuasa pencalonan, pemilihan, penyelarasan. Bengkel penyelarasan akan diadakan pada minggu ketiga dan keempat Ogos. Pemilihan calon DUN Belia akan dilaksanakan melalui kaedah iaitu pengundian dan temuduga. Kaedah pengundian akan dilakukan menerusi laman sesawang khas yang akan dibuat untuk calon mendaftar mengikut DUN.

“Kaedah temuduga membabitkan pencalonan pemimpin belia yang aktif dalam persatuan dan jawatankuasa pemilihan akan memperincikan menerusi kaedah temuduga sama ada layak atau tidak calon tersebut,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Shanmugam menjawab soalan Datuk Khaidirah Abu Zahar (BN-Rim) berhubung status terkini pelaksanaan DUN Belia Melaka.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) mengenai kriteria pemilihan, Shanmugam memaklumkan, had umur DUN Belia adalah 18 hingga 35 tahun.

Jelasnya, had umur yang sepatutnya hingga 40 tahun dipendekkan kepada maksimum 35 tahun berikutan penurunan di peringkat Parlimen.

“Sementara itu, belia yang aktif tidak bermaksud mereka menyertai gabungan majlis belia sahaja, malah daripada persatuan juga dibolehkan sekiranya mereka mempunyai sokongan belia di kawasan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya