KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memberi jaminan pembinaan projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Tunjong dekat sini dijangka siap pada hujung 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, projek terbabit bagi menggantikan terminal bas sementara yang sedang beroperasi di Lembah Sireh ketika ini.
Menurutnya, ‘request for proposal’ (RFP) bagi projek KB Sentral ini telah dikeluarkan pada hujung 2020.
“Proses RFP ini sedikit tergendala ekoran pandemik Covid-19 dan kerajaan negeri pada 1 Jun lalu telah memilih satu pembangunan KB Sentral di atas tanah seluas 0.4 hektar yang merangkumi stesen bas bersepadu, bangunan komersial dan pangsapuri.
“Terminal Stesen Bas Bersepadu yang baharu ini dijangka siap pada hujung 2025 manakala keseluruhan pembangunan yang lain akan siap dalam tempoh sembilan tahun,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Sebelum ini, isu stesen bas sementara di Lembah Sireh itu tular di media sosial yang membandingkan dengan kemudahan sama di negeri-negeri lain.
Dalam perkembangan lain, berhubung masalah air di Kelantan, Azami memberitahu, perancangan dibuat untuk menakung air sungai melalui kaedah Takungan Air Pinggiran Air Sungai (TAPS) dan Takungan Empangan.
Katanya, cadangan pembinaan TAPS dengan kapasiti 500 juta liter sehari (JLH) telah dirancang di Labok, Machang dan cadangan telah diangkat kepada Kerajaan Persekutuan untuk kelulusan pelaksanaan menerusi Rancangan Boleh Pinda (Rolling Plan) 3 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Pada masa ini, sumber air mentah untuk perkhidmatan bekalan air awam di Kelantan adalah melalui pengabstrakan air sungai (47 peratus), tapisan air sungai (29 peratus) dan air tanah (24 peratus).
“Air Kelantan Sdn. Bhd. (Aksab) juga merancang menaik taraf dan membina loji rawatan air (LRA) baharu serta melaksanakan program penukaran paip uzur untuk mengurangkan kadar air tak terhasil (NRW),” jelasnya. – UTUSAN