Kenderaan polis iring trak tunda potong di garisan berkembar dalam tugas - Utusan Malaysia

Kenderaan polis iring trak tunda potong di garisan berkembar dalam tugas

TANGKAP layar video sebuah kenderaan polis mengiringi dua buah trak tunda dan trak pikap memotong di garisan berkembar di Jalan Gua Musang-Kota Bharu yang tular di media sosial baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan klip video yang tular melibatkan sebuah kenderaan polis mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap memotong di garisan berkembar sejak semalam berlaku di Jalan Gua Musang-Kota Bharu di sini baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa kejadian, kenderaan pengiring itu telah memberi amaran dan membunyikan siren dan lampu kecemasan kepada pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, ketika itu berlaku sedikit kekeliruan di kalangan pengguna jalan raya mengenai perkara itu kerana kenderaan tersebut mempunyai pergerakan dan arahan yang sah untuk mengiringi ke semua kenderaan berkenaan.

“Persoalan orang ramai mengenai video yang tular adalah kereta pengiring itu mengundang bahaya. Sebenarnya, kereta pengiring itu menjalankan tugas mengatur dan mengawal mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 iaitu tugas di jalan awam.

“Ini bermakna, pengguna jalan raya yang lain perlu memberi kerjasama sama ada memperlahankan kenderaan, memberi laluan kepada kereta pengiring atau berhenti bagi mengelakkan sesuatu berlaku.

“Kenderaan pengiring ada peraturan tersendiri malah mereka tidak boleh sewenang-wenangnya kerana sedang bertugas. Saya tidak menyalahkan sesiapa, namun mungkin ramai yang masih keliru dengan perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, pengguna jalan raya sentiasa memberi kerjasama apabila melihat kenderaan pengiring polis di jalan raya.

Katanya, ini kerana tugas kenderaan pengiring tidak seperti pengguna jalan raya yang lain.

Terdahulu, tular rakaman video dashcam berdurasi 11 saat di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan polis pengiring yang memotong di garisan berkembar sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

Menerusi video itu, kenderaan itu sedang mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap memasuki lorong bertentangan dalam keadaan laju sehingga menyebabkan kenderaan lain terpaksa mengelak ke tepi jalan.

Insiden itu menyebabkan ramai yang mengecam tindakan bahaya kenderaan pengiring polis yang dilihat membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya