PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyumbang sejumlah RM314,000 bagi Program Korban Perdana di 13 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada Hari Raya Aidiladha, Ahad ini.
Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Program Korban Perdana itu membabitkan 52 ekor lembu bakal dikorbankan di kesemua kawasan parlimen itu.
Beliau berkata, setiap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menerima empat ekor lembu serta sedikit bantuan tunai bagi tujuan pelaksanaan program berkenaan.
“Program Korban Perdana ini adalah program tahunan YWP yang dilaksanakan sejak 2014 dengan kerjasama dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).
“YWP memberi sumbangan dana, manakala NGO yang juga rakan strategik pula bertangggungjawab mencari asnaf yang layak menerima daging korban, selain mengurus urusan penyembelihan dan melaksanakan agihan,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program Korban Perdana YWP 2022, di sini hari ini.
Katanya, YWP memilih NGO berdasarkan kredibiliti mengurus program korban dan kerjasama dengan rakyat di lapangan.
Shahidan berkata, NGO berkenaan akan ditugaskan untuk memastikan pengagihan daging korban dapat disalurkan kepada semua rakyat fakir miskin memerlukan di kawasan masing-masing.
“Besar harapan saya agar Program Korban Perdana YWP ini dapatlah membantu warga Wilayah Persekutuan menghayati erti pengorbanan terutamanya dalam membantu warga fakir miskin dan mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN










