Kelemahan syarikat konsesi punca banjir di Ipoh - Utusan Malaysia

Kelemahan syarikat konsesi punca banjir di Ipoh

KELEMAHAN syarikat konsesi laksana penyenggaraan dikatakan antara punca kejadian banjir kilat di Ipoh berulang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri mengakui terdapat kelemahan oleh syarikat konsesi dalam melaksanakan kerja penyelenggaraan longkang dan sampah di bandar ini hingga menyebabkan banjir kilat berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara tersebut akan diberi perhatian untuk ditambah baik supaya setiap konsesi terlibat melakukan tugas sesuai dengan bajet besar diperuntukkan.

Menurut beliau, masalah berkenaan juga menjadi isu yang sering dibangkitkan rakyat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing yang sering dilanda banjir.

“Menjadi perhatian portfolio saya untuk menentukan pelaksanaan konsesi ini agar dapat diperhebat dan diperkasa selari dengan garis panduan dan peruntukan besar yang diberikan kepada mereka,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PH-Sungai Rapat) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mohd. Zolkafly berkata, sehingga kini kerajaan telah meluluskan lebih RM100 juta bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kinta Fasa Dua sebagai langkah mengatasi masalah banjir di bandar Ipoh.

Katanya, beberapa anak sungai utama seperti Sungai Pinji akan dinaiktaraf serta didalamkan pada bahagian hilir bagi tujuan menurunkan paras air dan menyelesaikan masalah limpahan air Sungai Rokam dan Sungai Rapat.

“JPS juga sedang menjalankan kajian reka bentuk terperinci RTB Sungai Rokam dan akan memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan memandangkan hasil kajian yang telah dibuat oleh perunding, anggaran bagi RTB Sungai Rokam bernilai RM20 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN