BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemukan mati di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng dekat sini pada pukul 4.55 petang semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kesan luka pada bahagian dahi serta jerutan di leher mangsa.
Katanya, keterangan daripada saksi sudah diambil untuk mendapatkan fakta sebenar kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk proses bedah siasat.
“Susulan kejadian itu, ibu mangsa berusia 34 tahun ditahan untuk membantu siasatan kerana keterangan diberikannya tidak konsisten berbanding daripada saksi-saksi lain.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 21 Julai ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan, mangsa ialah anak sulung daripada empat beradik dan ayah mangsa dipercayai bekerja di Singapura.
Tinjauan ke kediaman mangsa hari ini mendapati rumah tersebut kosong.
Kes tersebut disiasat mengikut Syeksen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan. –UTUSAN ONLINE











