PETALING JAYA: Hanya kerana tidak suka makan nasi, seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun teruk dipukul oleh ibu angkatnya dalam kejadian di Taman Perumahan di Beranang, dekat sini.
Tindakan wanita yang memaksa mangsa untuk menelan nasi sehingga termuntah itu bagaimana terbongkar selepas video berdurasi 28 saat tular di laman sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, wanita berkenaan bagaimanapun telah ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi tadi bersama-sama seorang lelaki warga Singapura.
Kata beliau, penahanan itu dibuat selepas satu laporan polis dibuat seorang individu kira-kira pukul 12.14 tengah malam tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 18 Julai lalu dan mangsa ini dikatakan seorang kanak-kanak hyper-aktif.
“Mangsa merupakan anak kepada warganegara Indonesia yang mana kelahiran kanak-kanak ini tidak pernah didaftarkan dan tiada apa-apa dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Zaid, mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak bulan April lalu kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.
“Namun, mangsa dikatakan dipukul oleh pasangan tersebut menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu dan kadang kala dicucuh dengan pemetik api.
“Justeru itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 28 hingga 30an ditahan reman selama tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001,” jelasnya.
Tambah Mohd.Zaid, mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubung mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor K. Suresh ditalian 017-4333795,” katanya. – UTUSAN