‘Kami nak duduk dan mati di sini’

‘Kami nak duduk dan mati di sini’

RUMAH penduduk Orang Asli yang masih meneruskan kelangsungan hidup di Kampung Kelaik, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk Orang Asli daripada suku kaum Temiar yang menetap di Kampung Kelaik, Pos Blau di sini mendakwa kawasan penempatan mereka semakin ‘mengecil’ akibat penerokaan tanah bagi tujuan perladangan durian, kelapa sawit dan aktiviti perlombongan.

Mereka turut mendakwa, pe­nerokaan tanah berskala besar itu menyebabkan air sungai makin tercemar dan hasil hutan makin berkurangan.

Seorang warga emas Orang Asli, Aluj Angah, 75, berkata, penduduk di kawasan berkenaan tidak akan berganjak sama sekali, malah, tekad untuk terus mempertahankan ‘tanah adat’ itu yang merupakan warisan turun-temurun.

Menurutnya, Kampung Kelaik wujud sejak lebih 70 tahun lalu sebelum adanya ladang dan kemudahan jalan raya menghubungkan Gua Musang dan Tanah Tinggi Lojing.

“Kami nak duduk dan mati di sini. Kami sudah hilang sungai dan sumber makanan apabila pihak perladangan telah menyodok kawasan hutan.

“Sedihlah kerana kami semua makan barang dekat kedai sahaja. Nak cari sayur hutan dan jala ikan pun susah sekarang ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Uda Angah, 38, memberitahu, rintihan mereka sebagai penduduk asal tidak didengari apabila kerja-kerja penerokaan berjalan selepas kawasan itu diluluskan oleh kerajaan negeri.

Katanya, sejak kampung dikelilingi kawasan ladang menjejaskan kehidupan serta mata penca­rian masyarakat di sini.

“Sekarang ini, ada sikit sahaja buluh untuk dijual dan jika habis, tak tahulah kami nak cari makan selepas ini,” ujarnya.

Jika dahulu terdapat ramai lagi keluarga tinggal di kawasan ini, namun apabila berlakunya aktiviti penerokaan tanah, mereka terpaksa berpindah mencari kehidupan di tempat lain.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya