Jenayah scam di Perlis dengan nilai kerugian RM15.8 juta - Utusan Malaysia

Jenayah scam di Perlis dengan nilai kerugian RM15.8 juta

BADERULHISHAM Baharudin (lima dari kanan) bergambar bersama Awie (empat dari kanan) dan Saiful Apek (lima dari kiri) sewaktu Kempen Anti-Scam PDRM di Hotel Brasmana, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 998 kes jenayah komersial direkodkan di Perlis bagi tempoh bermula 2020 sehingga Jun tahun ini membabitkan nilai kerugian RM15.8 juta.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 969 kes yang direkodkan adalah melibatkan jenayah penipuan dalam talian.

Katanya, kepesatan pembangunan teknologi mendedahkan masyarakat kepada pelbagai ancaman baharu khususnya melibatkan jenayah siber.

“Evolusi gaya hidup ini secara tidak langsung mengakibatkan wujudnya bentuk jenayah baharu yang lebih kompleks dan global di samping turut memerlukan perhatian lebih serius,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Semenanjung Malaysia Sempena Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia 2022 di Hotel Brasmana di sini hari ini.

Kempen berkenaan turut menampilkan tetamu istimewa, pelakon dan penyanyi, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie serta pelawak terkenal, Saiful Apek.

Dalam pada itu, Baderulhisham berkata, Kempen Anti-Scam PDRM 2022 itu merupakan kesinambungan program-program pencegahan jenayah yang dilaksanakan secara berterusan sebelum ini.

“Kempen ini juga bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat terhadap ancaman scammer agar tidak menjadi mangsa penipuan atau terlibat dengan sindiket berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan secara langsung komuniti dalam kempen tersebut juga amat penting bagi meningkatkan lagi kefahaman mengenai pencegahan jenayah komersial.

“Saya yakin sekiranya informasi dan nasihat pencegahan jenayah yang diberikan pihak polis dimanfaatkan sepenuhnya maka masyarakat tidak akan mudah panik dan terpedaya dengan pelbagai helah digunakan oleh sindiket,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN