SEPANG: Setelah sunyi dua tahun, dewan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kembali meriah dengan kepulangan seramai 298 jemaah haji.
Kumpulan sulung itu yang juga kelompok pertama berlepas ke Tanah Suci pada 4 Jun lalu, selamat tiba pukul 9.05 pagi dengan penerbangan SV 5612 Saudia Airlines.
Antara mereka dalam kumpulan KT 01 itu ialah tiga beranak dari Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor termasuk seorang belia berusia 26 tahun, Muhammad Anas Rosdi.
Dia yang baru habis belajar di sebuah institusi pengajian tinggi turut bersyukur kerana segala urusan di Tanah Suci dipermudahkan Allah tanpa menghadapi sebarang masalah besar.
“Alhamdulillah, semua berjalan lancar walaupun kami pertama kali jejak kaki di Tanah Haram dan saya juga terlibat sebagai sukarelawan Sahabat Maktab,” katanya kepada pemberita.
Turut sependapat ialah kakaknya, Norsyafiqah Rosdi, 29, suri rumah, yang sempat berkongsi pengalaman ‘bergelap’ di terowong ketika pergi melakukan lontaran di kompleks jamrah.
Insiden tidak diduga selama 10 minit itu berakhir dengan tiada kejadian rempuhan dalam kalangan jemaah pelbagai negara.
Terowong
“Memang cemas sebab apabila lampu dalam terowong tiba-tiba terpadam,semua jemaah sibuk cari pasangan atau kawan dan selepas itu terus berjalan perlahan ke depan,” katanya.
Suaminya, Mohammad Norhanafi, 33, seorang penjawat awam juga berpuas hati kerana isterinya selamat pulang ke khemah di Mina meskipun bimbang dihimpit bersesak.
Turut menarik perhatian ialah aksi seorang isteri, Afiqah Azwana Mohd. Noor Azam, 25, yang membuat kejutan ketika menyambut ketibaan pasangannya, Muhammad Nazrul Salleh, 26.
“Suami bertugas di pejabat agama dan dia pun nampak terperanjat namun gembira kerana akhirnya pulang dengan selamat ke tanah air,” kata guru sekolah agama di Pontian, Johor itu.
Dia yang datang dengan menyewa di sebuah inap desa di sini bersama ahli keluarganya sejak semalam menghadiahkan sejambak bunga dan coklat berbentuk hati kepada pasangannya.
Tidak ketinggalan gelagat spontan tiga beradik wanita disambut keluarga di dewan ketibaan KLIA yang mengaminkan doa kesyukuran dipimpin abangnya, Mohd. Amri Abdul Rahman.- UTUSAN










