Isu ‘babi’ kembali di DUN Melaka - Utusan Malaysia

Isu ‘babi’ kembali di DUN Melaka

ABDUL Razak Abdul Rahman ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan untuk jawab lisan di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini gamat selepas Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengalihkan soalan tambahan berkaitan pertanian kepada isu penternakan babi di Paya Mengkuang, Alor Gajah.

Semalam, ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Chee Leong mengajukan soalan sama kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

Cadangan spontan untuk memindahkan penternakan babi dari Paya Mengkuang ke Kuala Sungai Baru turut mendapat bantahan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi).

Menjawab soalan tambahan itu, Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk memindahkannya ke kawasan lain.

Jelasnya, Paya Mengkuang sehingga kini belum diisytiharkan bebas penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang dikesan pada Disember 2021.

“Kerajaan negeri telah menetapkan penternakan babi di kawasan Paya Mengkuang dan tidak bercadang untuk memindahkannya ke kawasan lain. Susulan penyakit ASF yang berlaku di kawasan berkenaan, tiada aktiviti penternakan boleh dijalankan buat masa ini,” katanya ketika sesi pertanyaan untuk jawab lisan di Seri Negeri hari ini.

Dalam pada itu, Chee Leong yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Melaka turut membangkitkan isu telur dengan mempersoalkan kewajaran saranan mengurangkan pengambilan telur oleh rakyat.

Ia berikutan kenyataan dikeluarkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar sebelum ini, yang meminta rakyat mengurangkan pengambilan telur dalam menangani isu peningkatan harga makanan asas itu.

Yang Dipertua DUN, Datuk Ibrahim Durum selepas itu beberapa kali meminta Abdul Razak menjawab soalan diajukan tanpa perlu membalas pertanyaan lain kepada Chee Leong.

Abdul Razak kemudian menegaskan, kenyataan itu hanyalah pandangan peribadi dan bukannya pandangan rasmi kerajaan negeri.

“Saya tidak ada masalah nak tanya telur, babi, sawi, cumanya pada saya kenyataan kalau harga telur tu naik kurangkan makan telur, itu sebenarnya bukan kenyataan dikeluarkan kerajaan negeri yang mana itu pendapat peribadi.

“Apa sahaja keputusan kerajaan negeri mesti diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum sebarang kenyataan dibuat dan dalam MMKN kita tidak ada pun bincangkan isu itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN