KLUANG: Isteri seorang pesara tentera merayu bantuan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan pemimpin masyarakat setempat bagi membolehkannya mendapatkan rawatan lebih baik untuk merawat penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu.
Norizan Abdul, 66, berkata, bantuan itu sangat diperlukan bagi mendapatkan lampin pakai buang, susu khas dan menampung kos perjalanan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mengkibol sebanyak 12 kali sebulan.
Selepas kaki kirinya dipotong dari bawah paras lutut kira-kira dua bulan lalu, semua keperluan berkenaan terpaksa ditanggung sendiri menggunakan wang pencen bulanan arwah suaminya yang bersara dengan pangkat Pegawai Waran Dua (PW II) ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Untuk urusan di rumah, anak kedua daripada enam beradik, Norazman Amir Hamzah, 46, terpaksa mengambil alih semua pekerjaan yang dilakukan oleh saya sebelum ini termasuk menguruskan makan minum.
“Dia sebelum ini yang bekerja sendiri terpaksa berhenti semata-mata mahu memberikan tumpuan sepenuh masa khususnya urusan kesihatan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Orkid, dekat sini.
Kos membeli lampin pakai buang serta susu khas sahaja kira-kira RM950 sebulan, tidak termasuk perjalanan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mengkibol.
“Bagi memudahkan pergerakan di dalam rumah, saya memerlukan sebuah kerusi roda kerana yang ada sekarang diperoleh di tempat pembuangan sampah, namun dibaiki sendiri oleh anak bagi membolehkannya digunakan walaupun agak kurang baik.
“Dengan wang pencen bulanan sebanyak RM750, memang tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan ini apatah lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang ini,” katanya.
Norizan berkata, permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah dimajukan kira-kira dua bulan lalu, namun hingga kini belum mendapat sebarang jawapan. – UTUSAN