Hina Islam: Siti Nuramira mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Hina Islam: Siti Nuramira mengaku tidak bersalah

SITI Nuramira Abdullah hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang tular di media sosial kerana didakwa mencetuskan kontroversi tidak bermoral minggu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, bulan lalu.

Siti Nuramira Abdullah, 26, yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan komediri (stand up comedy) di kelab berkenaan.

Menurut pertuduhan pindaan, Siti Nuramira didakwa mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam lain.

Pegawai eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) itu didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 6 petang, 4 Jun lalu di Restoran Crack House Comedy Club, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan Siti Nuramira dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Brickfields sebulan sekali sehingga kes selesai.

Siti Aminah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar tertuduh dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan (gag order) berkaitan prosiding kes dalam media sosial.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang berhujah, walaupun kesalahan itu tidak dibenarkan jamin, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Beliau berhujah, kadar jaminan yang rendah akan menjejaskan pandangan masyarakat terhadap badan kehakiman.

Sementara itu, pihak pembelaan memohon Siti Nuramira dibebaskan dengan jaminan di antara RM4,000 dan RM5,000 kerana tertuduh yang masih bujang hanya berpendapatan RM3,000 sebulan.

Peguam R. Sivaraj memberi jaminan, anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana tertuduh telah memberi kerjasama penuh ketika siasatan dijalankan.

Menurut peguam bela, insiden persembahan itu telah viral di media sosial dan wanita itu terlebih dahulu menerima panggilan daripada pihak polis sebelum tangkapan dilakukan.

Ujar Sivaraj, anak guamnya menghadapi masalah untuk berkomunikasi melalui telefon bagi mencari penjamin dalam tempoh yang singkat kerana segala barang peribadi termasuk kad debit disimpan oleh pihak polis.

Bagaimanapun, peguam bela menjelaskan, Siti Nuramira akan dijamin oleh jirannya.

Pada prosiding itu, tertuduh turut diwakili oleh peguam-peguam, Datuk Shaharudin Ali dan Ramesh N.P Chandran.

Siti Nuramira direman bermula Sabtu lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung penularan video menunjukkan seorang wanita menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.

Siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni.

Sebelum ini, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab malam di TTDI.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudung hingga mendedahkan auratnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya