Hentikan projek Musang King Rimba Teloi - Utusan Malaysia

Hentikan projek Musang King Rimba Teloi

KESAN banjir atau kepala air dapat dilihat pada pokok-pokok yang berada di hulu Sungai Chepir yang terletak di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi apabila bahagian kulit yang tebal terkoyak yang menandakan pernah ditujah aliran air kuat sebelum ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Projek pembangunan Ladang Hutan yang menanam durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi, di sini perlu dihentikan segera bagi mengelak risiko berlakunya banjir lumpur dan kepala air.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, projek sama yang dijalankan di HSK Gunung Inas di Baling sudah terbukti gagal apabila menyumbang kepada musibah besar yang menimpa penduduk sekitar.

Katanya, sejak trend pembangunan ladang hutan atau dipanggil ladang monokultur itu dilakukan, didapati fungsi kepelbagaian hayat hutan telah terjejas.

“Terdapat kawasan pembangunan ladang itu merupakan kawasan koridor hidupan liar terutamanya habitat dan kawasan mamalia besar khususnya gajah dan harimau belang berkeliaran.

“Sejak ia dilaksanakan dalam skala besar oleh beberapa pihak berkuasa negeri melalui kaedah pajakan kepada syarikat konsesi dalam jangka masa lama, kami dapati fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas,” katanya.

Akhbar ini melaporkan, HSK Rimba Teloi yang turut diteroka untuk diusahakan sebagai ladang hutan dan kini dimajukan dengan tanaman durian Musang King berisiko mengu­langi episod sedih tragedi ke­pala air dan banjir lumpur di Gunung Inas, Baling pada 4 Julai lalu.

Berdasarkan tinjauan di kawasan terbabit, sekurang-kurangnya empat kolam takungan dipercayai untuk kegunaan projek tanaman tersebut berada di atas puncak bukit berkenaan melibatkan kompartment 66 dan 67 yang berkeluasan kira-kira 200 hektar.

Pada 20 Ogos 2021 iaitu dua hari selepas tragedi Gunung Jerai, Mohd. Sobri pernah memberi ‘amaran’ bahawa Gunung Inas berisiko berlaku banjir lumpur disebabkan projek pembangunan terbabit, sebelum ia benar-benar terjadi kurang setahun kemudian.

Ketika itu, beliau yang melakukan kajian bersama pasukannya turut meletakkan Rimba Teloi sebagai ‘bom jangka’ seterusnya selain Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda yang terlibat dalam kegiatan pembalakan dan kuari pasir.

Tambah Mohd. Sobri, pihak berwajib digesa mengkaji kelulusan sijil eksport durian Musang King dari HSK kerana ia telah menyebabkan kemusnahan alam sekitar yang dasyat.

“Ia memberi kesan jangka panjang dan pendek kepada penduduk sekitar, malah pokok durian tidak disyorkan untuk ditanam di dalam HSK oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini sudah mengarahkan kerja-kerja penanaman baharu pokok durian Musang King di Gunung Inas dihentikan sejak Disember 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya