Harga naik lebih lapan peratus, bukan dua peratus – Anwar - Utusan Malaysia

Harga naik lebih lapan peratus, bukan dua peratus – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibra­him menyifatkan kerajaan pasif dalam menangani kos sara hidup yang didakwa bukan naik dua peratus sebaliknya melebihi lapan peratus.

Ketua pembangkang itu berkata, beberapa pendekatan diambil juga seolah-olah kerajaan tidak bersedia untuk menangani inflasi dan kenaikan kos sara hidup secara menyeluruh.

“Dalam soal inflasi ini, kalau bara­ngan dan makanan… tak ada siapa di Malaysia yang percaya harga barangan makanan itu dua, empat atau enam peratus naik.

“Saya pergi ke pasar Kerinchi baru-baru ini memang lebih daripada lapan peratus. Kalau ikut kajian umum pun kata harga naik,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Anwar berkata, pendekatan kerajaan kebanyakannya bersifat konvensional dan tidak ada kesediaan membawa satu perubahan struktur terhadap cara membelanjakan peruntukan untuk keperluan rakyat.

“Perdana Menteri kata kos import tinggi, itu kerana nilai ringgit merudum, perlu ada pendekatan memperkukuh nilai ringgit supaya jumlah import tidak meningkat.

Bersasar

Soal subsidi minyak, kita mampu turunkan harga minyak jika pendekatan dibuat secara bersasar. Sekarang ini manfaat diperoleh semua, malah warga asing seperti disebut oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kerajaan tidak menjelaskan tindakan yang diambil apabila berlaku penyelewe­ngan terhadap peruntukan disediakan.

“Laporan ketua audit negara mengatakan ada ketirisan dan kebocoran, sebutlah RM70 bilion… sampai kepada kumpulan sasar itu, boleh jadi RM50 bilion boleh jadi RM60 bilion apa tindakan ke arah itu,” katanya.

Anwar kemudian mempersoalkan tindakan kerajaan yang pasif terhadap syarikat-syarikat yang mengaut keuntungan berbilion ringgit tetapi tidak membantu menangani masalah kenaikan harga.

“Mengapa tidak ada kesediaan menekan syarikat besar yang untungnya berbilion ringgit dan memastikan ada kuota penjualan dalam negeri yang le­bih rendah, bukan harga pasaran antarabangsa.

“Kalau buat begitu, masalah subsidi boleh dikurangkan tetapi nampaknya kerajaan tidak bersedia untuk mengambil tindakan menggesa dan mendesak syarikat besar yang untungnya besar.

“Kalau dia pengeluar kecil untung ratus ribu setahun saya tak mahu ganggu tapi syarikat besar untungnya bilion ringgit apa masalahnya nak letakkan kuota 10 hingga 15 peratus supaya memaksa mereka menjual harga lebih rendah kepada rakyat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN