KUALA LUMPUR: Sebanyak RM37.89 bilion perolehan koperasi disumbangkan kepada pendapatan negara sekali gus membuktikan kepentingan 100 tahun gerakan itu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, sepanjang tempoh 100 tahun ini, sektor koperasi telah melalui pelbagai evolusi dan transformasi untuk menempa kejayaan pada hari ini.
“Antaranya adalah pengenalan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; penubuhan dan transformasi Jabatan Pembangunan Koperasi kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia; dan penubuhan dan transformasi Maktab Kerjasama Malaysia kepada Institut Koperasi Malaysia.
“Selain itu, penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM); pengiktirafan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; dan penubuhan institusi perbankan Islam koperasi patuh syariah yang pertama di Malaysia iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).
“Sesungguhnya, kewujudan dan penubuhan institusi ini memberi impak yang besar kepada gerakan koperasi. Hasilnya, sehingga 31 Disember 2021, terdapat sebanyak 14,834 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.07 juta orang.
“Jumlah modal syer atau yuran koperasi mencatatkan RM16.54 bilion dan jumlah aset koperasi pula RM154.98 bilion. Selain itu, sumbangan perolehan koperasi kepada pendapatan negara pula adalah berjumlah RM37.89 bilion,” katanya, di sini.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Santapan Malam bersempena Sambutan 100 tahun gerakan koperasi, di sebuah hotel, malam tadi.
Menurut Noh, pihaknya juga bersyukur kerana gerakan koperasi berjaya mengharungi perjalanan 100 tahun dan mengecapi pelbagai kejayaan pada masa ini.
“Peranan sektor koperasi dalam pembangunan ekonomi negara dilihat berpotensi besar sebagai pemacu kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif.
“Pada masa ini, sektor koperasi merupakan penyumbang ketiga penting kepada ekonomi negara selepas sektor awam dan swasta,” jelasnya. –UTUSAN